AUSTIN: Seorang lelaki Venezuela parah ditembak pegawai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastan Amerika Syarikat (ICE) ketika sedang menghantar makanan di Austin, Texas, petang semalam.
Wilber Rafael Garces Perez, 28, ditembak di bahagian badan dan kini dirawat dihospital, kata Ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) Austin-Travis County, Robert Luckritz, dalam sidang akhbar.
Menurut sumber penguatkuasa undang-undang kepada NBC News, Garces Perez berada di AS secara haram dan mempunyai perintah pengusiran muktamad.
Jurucakap Jabatan Keselamatan Awam Texas, Sheridan Nolen, berkata pihaknya menerima bantuan daripada ICE berhubung usaha mengejar sebuah Toyota Corolla berwarna biru.
Video kejadian yang dimuat naik di media sosial dan disahkan NBC News merakam bunyi tayar sebelum seorang individu keluar dari sebuah SUV berwarna gelap.
Sebuah sedan biru kemudian dilihat berhenti di sebelah SUV berkenaan, dengan kedua-dua kenderaan menghadap satu sama lain.
Sekurang-kurangnya tiga das tembakan kedengaran ketika individu berkenaan menghampiri sedan itu dan berlari ke arahnya ketika kenderaan tersebut bergerak perlahan.
Video berkenaan menunjukkan individu itu berdiri di sebelah bahagian pemandu sedan selepas kenderaan tersebut berhenti di hadapan sebuah persimpangan. Sedan berkenaan turut kelihatan mengalami kerosakan pada bahagian penumpang.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), yang menyelia ICE, tidak segera memberi maklum balas pada malam Ahad ketika ditanya sama ada Garcés Perez berada dalam tahanan ICE.
DHS setakat ini belum memberikan maklumat sama ada pegawai ICE yang terbabit memakai kamera badan ketika kejadian atau sama ada lelaki berkenaan menjadi sasaran operasi.
DHS juga belum menjelaskan sama ada lelaki itu mempunyai sebarang rekod jenayah selain pelanggaran undang-undang imigresen.











