Keretapi Sarong kali pertama ‘sampai’ Perlis

Keretapi Sarong kali pertama ‘sampai’ Perlis

PARA peserta berpakaian tradisional menyertai program Keretapi Sarong Padang Besar 2026 di Padang Besar, Perlis baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Program Keretapi Sarong Padang Besar 2026 bersempena sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di negeri ini baru-baru ini mendapat sambutan hebat dengan orang ramai segak berpakaian tradisional.

Program inisiatif tahunan Locco Malaysia yang dikendalikan Persatuan Pelancongan dan Rekreasi Negeri Perlis (Trooper) itu bermula dengan lebih 1,000 peserta pelbagai lapisan umur dan kaum menaiki keretapi dari stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Arau ke Padang Besar yang menyajikan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan kebudayaan.

Program dirasmikan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah itu memberi pengalaman unik kepada peserta menghayati warisan budaya Malaysia dalam suasana moden.

Presiden Trooper, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, program Keretapi Sarong Padang Besar 2026 menjadi catatan penting apabila buat pertama kalinya dilaksanakan di Perlis.

Katanya, dalam menjayakan program itu, pihaknya memberikan tumpuan khusus kepada Padang Besar selaras potensi kawasan berkenaan sebagai lokasi sempadan strategik yang menjadi pintu masuk utama serta hab logistik penting antara Malaysia dan Thailand.

Beliau berkata, melalui inisiatif tersebut, pihaknya bukan sahaja mempromosikan aktiviti kebudayaan malah memperkenalkan keunikan produk pelancongan sempadan dan ekopelancongan di Padang Besar.

“Program Keretapi Sarongyang bermula daripada sebuah acara flash mob budaya tersebut, kini telah berkembang menjadi satu gerakan kebudayaan besar yang mendapat sambutan luar biasa di seluruh negara.

“Program Keretapi Sarong juga sudah memasuki edisi ke-10 pada tahun ini. Para peserta akan menaiki pengangkutan awam bersama-sama sambil mengenakan pakaian tradisional dan kain sarung yang melambangkan identiti bangsa.

“Selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai amalan yang lestari dan mesra alam, program ini turut memberi pengalaman unik kepada peserta untuk menghayati warisan budaya Malaysia dalam suasana moden,” katanya.

Ku Hasrin berkata, program berkenaan turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan strategik khususnya Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan KTMB yang bersama-sama membantu menjayakan acara yang berkonsepkan perjalanan kereta api sambil mengangkat elemen budaya dan komuniti setempat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×