Piala FA: Kelantan City, Kuching City terikat tanpa jaringan - Utusan Malaysia

Piala FA: Kelantan City, Kuching City terikat tanpa jaringan

NAZMI Faiz Mansor (kiri) mengawal kemas bola daripada dirampas pemain Kelantan City pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan sebentar tadi-IHSAN MFL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan City FC dan Kuching City FC sama handal selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Keputusan 0-0 itu menyaksikan kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang terbuka untuk mara apabila baki 90 minit akan ditentukan dalam perlawanan suku akhir kedua pada 10 Oktober nanti.

Pada perlawanan itu, pelawat hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi Adjin Mujagic selepas penjaga gol tuan rumah, Yuaiman Mat Jusoh melakukan sedikit kesilapan, namun tandukan penyerang berkenaan melewati palang.

Pada minit ke-35, tuan rumah memiliki peluang untuk membuka tirai jaringan, namun rembatan pemain Kelantan City diselamatkan penjaga gol Kuching City, Muhammad Haziq Nadzli.

Lima minit kemudian, tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan, Ahmad Nazri Muhamad dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan kasar ke atas Muhammad Ramadhan Saifullah Usman.

Keputusan tanpa jaringan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Kelantan City terus menekan kubu pelawat untuk mendapatkan jaringan, namun dihampakan ketumpulan penyudah.

Kelantan City kemudian memperoleh ‘talian hayat’ pada minit ke-79 apabila penyerang gantian Kuching City, Jerome Mpakco turut dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan keras ke atas pemain pertahanan tuan rumah.

Situasi itu menyaksikan kedua-dua pasukan kembali beraksi dengan 10 pemain, sekali gus menjadikan rentak perlawanan lebih seimbang.

Usaha kedua-dua pasukan mendapatkan jaringan menemui jalan buntu, sekali gus menyaksikan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×