KUALA LUMPUR: Babah Ventures Sdn. Bhd. (Babah Ventures), syarikat di sebalik rangkaian restoran Bumbu Babah, menyasarkan untuk meningkatkan jumlah cawangannya kepada 100 menjelang 2027 berbanding 60 cawangan ketika ini.
Pengasas Bersama Babah Ventures, Mohamad Hanaffi Razak berkata, sasaran itu dijangka dapat direalisasikan menerusi gabungan pengembangan cawangan sendiri, rakan kongsi dan pemegang lesen melalui beberapa konsep makanan dan minuman (F&B) lain termasuk Bumbu Babah Warisan dan KRU Cafe.
“Kurang daripada dua tahun, kita akan cuba buka 100 cawangan. Saya rasa mungkin pada 2027 kita akan capai 100 cawangan. Bagaimanapun, objektif kami bukan semata-mata nak buka lebih banyak outlet Bumbu Babah.
“Kami mahu gunakan semua yang kami dah bina, sistem, pasukan, infrastruktur dan pangkalan pelanggan untuk membina Babah Ventures menjadi sebuah kumpulan F&B yang jauh lebih besar.
“Cita-cita kami juga adalah untuk menyediakan syarikat ke arah IPO menjelang 2028 dan kami mahu pemegang saham yang masuk bersama kami hari ini menjadi sebahagian daripada perjalanan itu,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bumbu Babah Warisan dan Kempen Equity Crowdfunding (ECF) Bumbu Babah di sini.
Bagi menyokong rancangan pengembangan itu, syarikat kini menjalankan kempen Equity Crowdfunding (ECF) menerusi platform pitchIN dengan sasaran mengumpul RM5 juta dalam tempoh 60 hari.
Beliau yang turut dikenali sebagai Ajak Shiro berkata, ECF dipilih bukan semata-mata sebagai sumber pembiayaan, sebaliknya bagi membolehkan pelanggan dan penyokong Bumbu Babah menjadi sebahagian daripada pemegang saham syarikat.
“Pelaburan minimum juga ditetapkan pada RM800 dengan pelabur menerima baucar makanan bernilai RM960 yang boleh digunakan dalam tempoh empat tahun, bersamaan RM240 setahun.
“Selain manfaat berkenaan, pelabur dijangka menerima dividen antara enam hingga 10 peratus setahun, tertakluk kepada prestasi dan keuntungan syarikat.
“Selain itu, kami menyasarkan untuk memperuntukkan 30 peratus daripada keuntungan syarikat kepada pelabur sebagai dividen dengan pelaburan perlu matang sekurang-kurangnya setahun sebelum layak menerima dividen.
“Dana yang diperoleh menerusi ECF juga akan digunakan bagi memperkukuh ibu pejabat serta menyokong rancangan pengembangan perniagaan syarikat,” ujarnya.
Di Malaysia, ekosistem ECF dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dengan platform ECF perlu berdaftar dengan SC.
Kerajaan turut mempunyai inisiatif pelaburan bersama dalam kempen ECF tertentu menerusi Malaysia Investment Fund (MySIF).
Bagi pengembangan pasaran, beliau berkata, syarikat ketika ini memberi tumpuan kepada Semenanjung Malaysia sebelum memperluaskan operasi ke Sabah dan Sarawak.
Katanya, syarikat turut melihat peluang menembusi beberapa pasaran luar termasuk Australia, Jepun serta Mekah dan Madinah.
“Bagaimanapun, Indonesia bukan fokus utama buat masa ini kerana pasaran nasi padang di sana sudah mempunyai banyak pemain dan persaingan yang tinggi. Kami lebih melihat peluang di Australia serta pasaran Mekah dan Madinah,” jelasnya. – UTUSAN










