KLANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir tragedi bot karam di Permatang Sedepa (One Fathom Bank) pada Ahad lalu ditamatkan mulai hari ini.
Operasi tersebut tidak diteruskan selepas pencarian yang memasuki hari keenam semalam tidak memberikan sebarang penemuan atau petunjuk bagi mengesan mangsa terakhir, Raja Mohd. Rozi Raja Mohamad, 49.
Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Leftenan Mohd. Azlee Zainal berkata, keputusan itu dibuat selepas operasi SAR dilakukan meliputi kawasan seluas 3,887 batu nautika persegi di perairan Selangor dan Perak.
“Operasi itu meliputi perairan seperti di Hutan Melintang dan Bagan Datuk, Perak. Sehingga pukul 7 petang, semalam tiada sebarang petunjuk baharu atau mangsa berjaya ditemui,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Harapan (PKH) Operasi SAR di Jeti Sementa, Pangkalan Nelayan Sementa, di sini, semalam.
Tambahnya, meskipun SAR ditamatkan, namun pencarian akan diteruskan menerusi rondaan rutin dan pemantauan di kawasan berkenaan.
“Aset Maritim Malaysia akan meneruskan rondaan dan pemantauan, kita juga memaklumkan kepada persatuan nelayan dan komuniti maritim supaya bekerjasama,” ujarnya.
Raja Mohd. Rozi yang juga dikenali sebagai ‘Tok Penghulu’ merupakan mangsa terakhir yang masih belum ditemui selepas bot dinaikinya bersama enam pemancing lain bocor dan karam akibat dibadai ombak besar.
Susulan itu bot mereka hanyut menjauhi rumah api One Fathom Bank sehingga memasuki laluan kapal dagang.
Menerusi operasi SAR, hanya empat yang ditemukan selamat dan menerima rawatan susulan iaitu, Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45; dan Zulfilkalnain Awang, 47 yang merupakan tekong.
Bagaimanapun, dua lagi iaitu Mohd. Shahril Abd. Rahman, 43, dan Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, ditemukan meninggal dunia pada hari kedua dan ketiga operasi SAR oleh nelayan tempatan di perairan Hutan Melintang iaitu lebih 100 kilometer dari kawasan bot mereka dipercayai karam.
Allahyarham Mohd. Shahril yang merupakan bapa kepada tiga orang anak itu kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam untuk pengecaman dan bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sa’adah, Bandar Putera 2, di sini, kelmarin.
Sementara jenazah Allahyarham Muhammad Ridzuan pula dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tujuan sama dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Barat, Shah Alam pada petang semalam. – UTUSAN











