Kesedaran mengenai bahaya minuman alkohol perlu diterapkan lebih awal, khususnya dalam kalangan remaja berikutan terdapat remaja semuda usia 15 tahun sudah mula mengambil minuman keras itu.
Golongan muda perlu memahami kesan alkohol bukan sekadar menyebabkan seseorang mabuk tetapi boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental, kestabilan sosial, ekonomi, hubungan keluarga dan keselamatan masyarakat.
Timbalan Komandan (Siasatan Perisikan Khas),Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohamed Sazif Mohamed Subri berkata, orang yang mengambil alkohol terdedah kepada penyakit darah tinggi, hipoglisemia dan masalah depresi respiratori yang serius.
“Depresi respiratori berlaku apabila terlalu banyak minum dan mabuk yang akan menyebabkan termuntah. Jika muntah yang tidak keluar melalui mulut, sebaliknya masuk ke saluran pernafasan, akan menyebabkan kesesakan dada. Seterusnya tidak boleh bernafas dan akhirnya meninggal dunia. Keadaan ini sering berlaku di mana mereka yang mabuk ditemui mati di tepi jalan,” katanya yang berkelulusan Sarjana Perubatan Sains, Toksikologi, University of Glasgow, Scotland.
Mohamed Sazif berkata demikian pada Symposium 2.0: “Thumbs Down to Bottoms Up”, Apa Kata Agama Mengenai Bahan Memabukkan?” anjuran Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Malaysia (ACCIN), baru-baru ini.
Katanya, lebih membimbangkan pengambilan alkohol murah yang diseludup dari negara jiran yang turut mengancam kesihatan pengguna.
Kegiatan penyeludupan juga, katanya, menimbulkan cabaran kepada penguatkuasaan kerana bekalan yang memasuki pasaran secara tidak sah sukar dipantau dari aspek sumber, pengedaran dan pematuhan peraturan.
Kebanyakan alkohol yang diminum secara asasnya adalah ethanol. Daripada konteks farmakologi, ethanol digunakan untuk menyah kuman pada tangan. Alkohol bersifat dehidrasi di mana apabila terkena kepada kulit, kulit akan bertukar menjadi merah.
“Apabila seseorang memasukkan alkohol ke dalam badan, ada beberapa faktor yang mempengaruhi penyerapan alkohol dalam badannya. Apabila penyerapan berlaku secara berkesan akan menyebabkan reaksi seperti mengubah mood. Kalau mood baik, dia nampak gembira sebaliknya jika mood tidak baik, akan jadi panas baran.
“Berat badan dan jantina juga mempengaruhi penyerapan alkohol. Orang kurus, kepekatan alkohol lebih tinggi, berbeza dengan orang yang lebih gemuk. Orang gemuk memerlukan lebih alkohol untuk mengalami kesan alkohol. Wanita pula perlu minum sedikit saja untuk mabuk berbanding lelaki,” jelasnya.
Alkohol jejaskan mental
Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Prof. Madya Dr. Rusdi Abd. Rashid berkata, minum berlebihan (Binge drinking) bermakna mengambil enam atau lebih minuman alkohol standard dalam satu sesi, sekurang-kurangnya setiap minggu.

Prof. Madya Dr. Rusdi Abd. Rashid“Pengambilan alkohol berlebihan boleh menyebabkan keracunan alkohol yang bukan saja akan berlaku perubahan tingkah laku, pertuturan tidak jelas dan meracau. Dalam keadaan serius, keracunan alkohol juga boleh menyebabkan koma alkohol.
“Koma alkohol mengancam nyawa akibat tahap alkohol di dalam darah terlalu toksik, sehingga menyebabkan sistem saraf pusat dan fungsi otak terhenti seketika. Pada tahap ini, tubuh mangsa juga sudah tidak lagi mampu memproses atau menyingkirkan alkohol yang ada di dalam sistem peredaran darah,” katanya.
Katanya lagi, penggunaan alkohol juga sangat berkait rapat dengan kemurungan, keresahan (anxiety), gangguan tidur dan tingkah laku membunuh diri. Pengambilan alkohol secara kronik atau berat boleh menyumbang kepada kemerosotan kognitif, disregulasi emosi dan gejala psikotik.
“Gejala kemerosotan kognitif dan ingatan akibat penggunaan alkohol boleh dikaitkan dengan beberapa keadaan klinikal seperti Sindrom Wernicke-Korsakoff iaitu gangguan neurologi teruk akibat kekurangan vitamin B1 (thiamine) yang lazimnya berlaku pada penghidap alkoholisme kronik.
“Penagih alkohol juga berisiko mengalami Demensia berkaitan alkohol (ARBD). Ia adalah kerosakan struktur otak secara langsung akibat kesan toksik etanol pada neuron. Kemerosotan Kognitif Ringan (MCI) adalah tahap awal penurunan fungsi otak, berpotensi untuk pulih jika tabiat minum dihentikan,” katanya.
Menghentikan tabiat minum juga akan memberikan kesan seperti menggeletar (tremor), loya, muntah, kelesuan atau kelemahan, hiperaktiviti autonomik, kebimbangan, depresi, kerengsaan, halusinasi atau ilusi sementara, sakit kepala, insomnia, hiperrefleksia dan sawan. Keadaan ini dikenali sebagai Sindrom Penarikan Alkohol.
Halusinasi alkohol berlaku sekitar 12 hingga 24 jam selepas pemberhentian mengejut pengambilan alkohol yang berat. Ia boleh berlarutan selama beberapa hari.
Kekurangan magnesium dalam darah (hipomagnesemia) menyebabkan kerengsaan neuromuskular (saraf-otot) dan sawan.
Gejala utama membabitkan halusinasi pendengaran dan penglihatan, selalunya dalam bentuk suara-suara yang menuduh atau mengancam.
Risiko mengalami halusinosis alkohol meningkat disebabkan oleh penyalahgunaan alkohol yang kronik (jangka panjang) serta penggunaan dadah lain.
Demensia alkohol pula adalah gangguan ingatan jangka pendek dan jangka panjang, gangguan pemikiran abstrak atau pertimbangan, gangguan fungsi kortikal yang lebih tinggi. Ia berlaku akibat kesan toksik alkohol pada sel-sel neuron yang berterusan selama tiga minggu selepas pengambilan alkohol dihentikan.
RAWATAN
Pengurusan yang berkesan memerlukan perhatian serentak terhadap kebergantungan alkohol dan kesihatan mental individu.
Berdasarkan garis panduan rawatan dual diagnosis, pengurusan keadaan ini memerlukan pendekatan pelbagai serampang. Ini termasuk Detoksifikasi Perubatan Terbimbing iaitu proses menghentikan alkohol secara selamat di bawah pengawasan hospital bagi mengelakkan sindrom berbahaya.
“Bagi mencegah kerosakan otak kekal, pesakit akan diberi Terapi Penggantian Nutrisi iaitu memberikan thiamine (Vitamin B1) dos tinggi melalui suntikan atau oral untuk mencegah kerosakan otak yang kekal,” katanya.
Rawatan serentak untuk menangani kebergantungan alkohol dan masalah mental seperti kemurungan atau keresahan secara bersepadu adalah melalui Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT) & Sokongan Psikiatri.
Penggunaan ubat-ubatan di bawah pengawasan perubatan Agen anti ketagihan boleh mengurangkan keinginan minum alkohol.
Dapatan utama daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 mendapati prevalens peminum semasa dalam kalangan orang dewasa di Malaysia adalah 10.6%. Lelaki mempunyai prevalens yang lebih tinggi (13.9%) berbanding wanita (6.7%). Prevalens tertinggi adalah dalam kalangan kumpulan umur 20 hingga 39 tahun. –UTUSAN










