PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu segera mengenal pasti penganjur dan semua individu yang terlibat dalam pementasan yang tular serta menentukan lokasi sebenar pementasan dan kewarganegaraan mereka.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan itu penting bagi memastikan fakta asas berkaitan pementasan berkenaan tidak terus menjadi teka-teki di media sosial.
Katanya, sekiranya pementasan itu benar seperti yang dikhabarkan berlangsung di London, Wisma Putra dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom perlu mendapatkan fakta lengkap mengenai penganjur, individu yang terlibat dan status kewarganegaraan mereka.
“Saya mengecam keras pementasan yang tular kerana mempersendakan Rukun Negara termasuk prinsip Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan termasuk cubaan menormalisasi budaya yang bertentangan dengan undang-undang di Malaysia.
“Kerajaan juga perlu menyiasat sama ada terdapat sebarang geran, pembiayaan atau sokongan daripada mana-mana agensi kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Fadhli, jika pementasan tersebut dilakukan di luar Malaysia dan melibatkan rakyat Malaysia, Peguam Negara perlu menentukan undang-undang Malaysia yang mempunyai bidang kuasa terhadap perbuatan berkenaan.
Katanya, Menteri Perpaduan sendiri telah menyatakan bahawa siasatan perlu mengambil kira Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 serta undang-undang lain yang berkaitan.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga perlu menyiasat aspek penyebaran kandungan tersebut kepada khalayak Malaysia.
“Seksyen 4 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mempunyai peruntukan mengenai pemakaian wilayah dan luar wilayah Akta tersebut, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya.
Tambah beliau, jika terbukti terdapat warganegara Malaysia yang terlibat dan mereka memperoleh kewarganegaraan melalui kategori yang tertakluk kepada Perkara 25(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan perlu mengambil tindakan pelucutan kewarganegaraan sekiranya perbuatan atau percakapan mereka memenuhi ambang yang ditetapkan oleh Perlembagaan.
Katanya, ambang tersebut ialah mereka telah menunjukkan diri sebagai disloyal or disaffected towards the Federation.
“Inilah punca kuasa Perlembagaan yang tersedia dan kerajaan tidak seharusnya takut menggunakannya apabila syarat undang-undang dipenuhi.
“Rukun Negara bukan bahan persendaan dan diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 susulan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai falsafah kebangsaan untuk membina perpaduan dan kehidupan bernegara.
“Kebebasan berkarya bukan kebebasan daripada undang-undang. Jika kerajaan benar-benar serius mempertahankan prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara, tindakan mestilah lebih daripada sekadar kenyataan mengecam,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah video pementasan yang mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, negara Malaysia serta Rukun Negara tular dalam media sejak semalam.
Video itu menimbulkan kemarahan banyak pihak yang mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan tindakan tegas diambil terhadap individu terlibat. – UTUSAN











