ISLAMABAD: Serangan bom di sebuah masjid dan pertempuran bersenjata yang berlaku selepas itu di barat laut Pakistan yang bergolak mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang, termasuk enam orang awam dan 15 anggota polis, manakala berpuluh-puluh lagi cedera.
Ketika jemaah berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat, sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan dirempuh ke pintu masuk sebuah masjid di ibu pejabat polis di Kohat.
Bandar itu terletak di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, berhampiran sempadan Afghanistan.
Kumpulan Ittehadul Mujahidin, yang bermaksud Pakatan Mujahiden dan mempunyai kaitan dengan komander Taliban, Hafiz Gul Bahadur berkata, pihaknya melancarkan serangan bom bunuh diri berkenaan.
Ketua Polis wilayah, Zulfikar Hameed mengesahkan serangan bom bunuh diri itu.
Selepas letupan, beberapa lelaki bersenjata cuba memasuki kawasan ibu pejabat polis sebelum berbalas tembakan dengan anggota polis.
Sekurang-kurangnya 15 mayat dan lebih 50 orang yang cedera dibawa ke hospital, kata Dr Tahir Shah, menurut agensi berita dpa.
Sumber memberitahu Al Jazeera bahawa sekurang-kurangnya 75 orang cedera.
Pegawai kanan pasukan penyelamat, Bilal Faizi berkata, kebanyakan mangsa yang cedera ialah jemaah, lapor The Associated Press.
Masjid itu mengalami kerosakan teruk manakala tembok luar balai polis runtuh. Penduduk berkata, bunyi letupan itu kedengaran dari jarak yang agak jauh. – AGENSI











