SHAH ALAM: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dan bapanya diperintah membayar RM10,000 selepas Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak saman RM1 juta yang difailkan mereka pada dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Anita Harun membuat keputusan itu apabila plaintif yang terdiri daripada remaja itu bersama bapanya, Wan Amey Shahril Wan Ab. Rahman gagal membuktikan kecuaian enam defendan.
Justeru, plaintif diperintah membayar kos RM10,000 keseluruhan kepada enam defendan iaitu guru, Ilyana Sari Ridzuan, Suhaida Abdul Rahman dan Aizam Naim Mohd. Junid bersama guru besar, Hamidah Shamsudin serta Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia.
Dalam prosiding, semua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Afiq Nazrin Zaharinan.
Dalam penghakimannya, Anita berkata plaintif pertama menghadiri program pendidikan khas di sebuah sekolah kebangsaan di Shah Alam sebelum terjatuh pada 12 Oktober 2023 dan mengalami patah tulang femur kiri.
Katanya, plaintif-plaintif mendakwa berlaku kecuaian serta pelanggaran kewajipan berhati-hati (duty of care) terhadap murid berkenaan, namun masih perlu membuktikan kecuaian itu menjadi punca kerugian berdasarkan imbangan kebarangkalian.
“Guru mempunyai kewajipan berhati-hati untuk menjaga murid, namun kewajipan itu bukan satu jaminan terhadap setiap kecederaan,” katanya.
Berhubung isu pengawasan, Anita berkata, defendan pertama mengakui pergi ke tingkat bawah seorang diri dan tumpuannya ketika itu terbahagi, namun dakwaan bahawa kehadiran dua guru diwajibkan tidak berjaya dibuktikan.
Beliau berkata, keseluruhan keterangan juga tidak menunjukkan nisbah pengawasan ketika itu tidak munasabah atau terdapat langkah berhati-hati yang wajar tetapi diabaikan sehingga menjadi punca kejadian.
Jelas Anita, tindakan guru memberikan bantuan, menghubungi ibu mangsa dan membenarkan mangsa dibawa pulang tidak boleh dianggap tidak munasabah kerana prosedur sekolah tidak mewajibkan penggunaan ambulans.
Mahkamah turut mendapati keterangan perubatan mengesahkan kecederaan sekunder yang memerlukan rawatan, namun pendapat salah seorang saksi tidak cukup untuk membuktikan kesakitan tambahan itu berpunca daripada kecuaian atau sesuatu yang boleh dijangkakan.
Justeru, kata Anita, tindakan plaintif-plaintif terhadap kesemua defendan adalah ditolak dengan tiada anugerah untuk faedah atau ganti rugi terpakai di bawah penghakiman ini.
“Kesimpulan ini tidak menafikan kecederaan plaintif pertama atau kesusahan keluarganya. Ia mencerminkan kegagalan untuk membuktikan kesalahan dan hubungan punca dan kesan yang diperlukan oleh undang-undang,” jelasnya.
Sementara itu, Peguam Soffian Azmir mewakili plaintif ketika ditemui selepas prosiding memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.
” Kami tidak bersetuju dan percaya terkhilaf selain akan membuat rayuan secepat mungkin. Sepatutnya di kelas pendidikan khas diberikan lebih pengawasan namun tidak diberikan,” ujarnya. – UTUSAN











