KECERDASAN buatan (AI) sedang mengubah cara manusia mendapatkan maklumat. Jika dahulu masyarakat merujuk kitab, menghadiri kuliah atau bertemu guru agama, kini pelbagai persoalan boleh dijawab melalui arahan ringkas kepada chatbot dalam beberapa saat.
AI bukan lagi sekadar alat mencari maklumat, malah semakin dianggap sebagai rakan dialog dan sumber rujukan, termasuk dalam persoalan agama.
Cabaran sebenar bukan sekadar kemampuan AI memberikan jawapan yang salah tetapi perubahan cara masyarakat menentukan sumber kebenaran. Apabila jawapan mesin dianggap setara dengan pandangan ilmuwan, menyebabkan autoriti ilmu mula mengalami pergeseran.
AI sememangnya mempunyai manfaat dalam dunia dakwah. Pendakwah boleh menggunakannya untuk menyediakan bahan kuliah, menterjemah teks, menyusun nota, menghasilkan kandungan multimedia serta membantu penyelidikan. Namun, kemudahan ini tidak bermakna proses pentafsiran agama boleh diserahkan kepada algoritma.
Hakikatnya, AI bukan pendakwah, mufti atau autoriti agama. Sistem ini menghasilkan jawapan berdasarkan corak data yang dipelajari dan tidak melalui proses talaqqi, penguasaan disiplin ilmu atau pertimbangan terhadap konteks masyarakat. Bahasa yang lancar juga tidak menjamin kesahihan kandungan.
Risiko menjadi lebih serius apabila berlaku halusinasi AI, iaitu sistem menghasilkan maklumat yang kelihatan meyakinkan walaupun tidak benar. Dalam konteks agama, kesilapan boleh melibatkan hadis, ayat al-Quran, pandangan ulama atau rumusan hukum.
Teknologi deepfake pula membuka ruang kepada pemalsuan suara, wajah dan kenyataan tokoh agama. Dalam suasana masyarakat yang semakin bergantung kepada media sosial, kandungan yang sensasi dan mudah difahami pula lebih cepat mendapat perhatian berbanding penjelasan ilmiah yang memerlukan penelitian.
Keadaan ini berisiko melahirkan budaya mendapatkan jawapan segera tanpa menyemak sumber. Jika berterusan, masyarakat mungkin semakin sukar membezakan antara maklumat, ilmu dan hikmah.
Namun, AI tidak wajar ditolak sepenuhnya. Teknologi ini boleh menjadi pembantu kepada ilmuwan untuk mempercepat penyelidikan, penterjemahan dan penyebaran ilmu. Setiap kandungan agama yang dijana AI perlu disemak oleh individu berautoriti sebelum disebarkan.
Pada akhirnya, AI boleh membantu memperluas capaian ilmu tetapi tidak boleh menggantikan amanah keilmuan. Kemajuan teknologi mesti berjalan seiring dengan disiplin, etika dan tanggungjawab supaya autoriti agama terus berteraskan ilmu yang sahih. –UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH & MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Sixtysix Action Academy











