PETALING JAYA: Harimau Malaya bakal turun dengan kekuatan hampir maksimum pada kempen Piala ASEAN FIFA 2026 apabila ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe memanggil semula sebahagian besar tonggak utama negara bagi menghadapi kejohanan yang berlangsung di Jakarta dan Bandung, Indonesia dari 25 September hingga 5 Oktober ini.
Daripada 23 pemain yang disenaraikan, hanya lima nama dikekalkan daripada skuad Piala ASEAN 2026 iaitu penjaga gol Azri Ghani, pertahanan Ubaidullah Shamsul Fazili, pemain tengah G. Pavithran serta dua penyerang muda Faris Danish Asrul dan Sergio Aguero.
Selebihnya menyaksikan kepulangan beberapa tonggak utama skuad kebangsaan termasuk Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim , Dion Cools manakala tiga pemain yang baharu mendapat kelulusan naturalisasi iaitu Bergson da Silva serta Manuel Hidalgo turut disenaraikan.
Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi penyumbang terbesar skuad kebangsaan dengan 10 pemain dipanggil iaitu Syihan Azmi, Brad Tapp, Corbin Ong, Syahmi Safari, Hong Wan, Hidalgo, Stuart Wilkin, Arif Aiman , Bergson dan Faris Danish Asrul.
Selangor pula menyumbang tiga pemain menerusi Quentin Cheng, Nooa Laine dan Faisal Halim, manakala Terengganu FC diwakili Ubaidullah Shamsul Fazili, G. Pavithran dan Romel Morales.
Turut dipanggil ialah Haziq Nadzli dan Nazmi Faiz Mansor dari Kuching City, Azri Ghani dari Negeri Sembilan FC, Sergio Aguero dari PSM Makassar, Daniel Ting dari Ratchaburi FC serta Fergus Tierney yang kini beraksi bersama PAC Omonia.
Skuad kebangsaan akan memulakan kem latihan pusat pada 21 September sebelum berlepas ke Jakarta sehari kemudian bagi menghadapi jadual padat Kumpulan A dalam saingan Divisyen 1.
Malaysia yang menghuni ranking ke-136 dunia akan membuka kempen Kumpulan A menentang Bangladesh pada 25 September sebelum berdepan tuan rumah Indonesia tiga hari kemudian di Stadium Gelora Bung Karno.
Aksi terakhir peringkat kumpulan menyaksikan Harimau Malaya bertemu Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Oktober dengan hanya juara kumpulan layak ke pentas final kejohanan.
Kehadiran semula ramai pemain utama memberi gambaran jelas bahawa Cheng Hoe mahu membentuk pasukan paling kompetitif bagi memburu pentas final edisi sulung Piala ASEAN FIFA dan sekali gus mengangkat semula reputasi Harimau Malaya di pentas serantau.-UTUSAN










