Serangan Russia musnahkan gudang studio TV diasas Zelensky - Utusan Malaysia

Serangan Russia musnahkan gudang studio TV diasas Zelensky

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Serangan Russia memusnahkan sebuah gudang di Kyiv yang menyimpan prop milik studio televisyen yang pernah diasaskan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menurut syarikat berkenaan.

Semua kakitangannya dilaporkan selamat. Zelensky tidak memberikan sebarang komen segera mengenai serangan itu.

Zelensky bersama-sama mengasaskan syarikat produksi Kvartal 95 pada 2003 ketika beliau masih bekerja sebagai pelawak.

Studio itu menerbitkan beberapa rancangan televisyen paling popular di Ukraine, termasuk siri komedi mengenai seorang presiden fiksyen yang melonjakkan nama Zelensky.

“Akibat satu lagi serangan dron Russia, sebuah gudang tempat prop studio kami disimpan telah musnah.

“Kami kehilangan sejumlah besar set penggambaran, kostum dan barangan yang selama 20 tahun menjadi sebahagian daripada peralatan ketika menerbitkan konsert, rancangan TV, filem dan siri kami,” tambah syarikat itu.

Syarikat berkenaan berkongsi gambar yang menunjukkan apa yang kelihatan seperti sebuah gudang sedang terbakar, manakala satu lagi gambar menunjukkan serpihan hangus bertaburan di atas lantai.

Zelensky menghabiskan sebahagian besar kerjaya awalnya dalam bidang televisyen, termasuk di Russia.

Pada 2013, beliau menjadi pengacara bersama rancangan Malam Tahun Baharu di televisyen milik kerajaan Russia.

Kvartal 95 menghentikan operasinya di Russia susulan tindakan Moscow mengilhakkan Crimea pada 2014.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×