Kalau Aya Rayana minat rap, terpulanglah, saya terbuka - MK K-Clique - Utusan Malaysia

Kalau Aya Rayana minat rap, terpulanglah, saya terbuka – MK K-Clique

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap dan pelakon, MK K-Clique terkejut apabila anak perempuannya, Aya Rayana yang baru berusia dua tahun sudah pandai mengikut rentak rap lagu-lagu nyanyiannya.

MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan berkata, puteri kesayangannya itu bukan sahaja mengenali lagu-lagunya, malah sudah mampu menghafal beberapa karya termasuk Pulang, Risiko dan Mimpi.

“Dia sudah hafal lagu Pulang. Malah, dia boleh rap lagu Risiko. Saya tidak tipu. Baru dua tahun tetapi dia boleh ikut lagu Pulang, Risiko dan Mimpi. Cuma kalau saya rap di rumah, dia marah. Itu yang saya pelik.

“Kalau pasang lagu itu dan saya ikut rap, dia akan marah,” katanya ketika ditemui di sidang media drama IQIYI Original, Sekali Lagi Bahagia, pada Selasa

Menurut MK, dia mula menyedari kebolehan Aya selepas isterinya, Siti Hajaar sering menghantar rakaman video memperlihatkan gelagat si kecil itu menyanyi.

“Isteri saya selalu hantar video dia menyanyikan lagu Pulang. Sebelum ini pun kami selalu bawa dia ke persembahan. Ketika dia masih kecil, kami hanya buka tingkap kereta di belakang pentas. Jadi, dia tahu bapanya pergi buat persembahan rap.

“Sekarang apabila sudah besar dia akan berada di tepi pentas, duduk diam dan tengok. Dia boleh menyanyi, menari dan ikut teruja mendengar lagu,” katanya.

Dalam pada itu, MK percaya pendedahan terhadap muzik turut datang daripada ahli keluarga memandangkan ramai anak saudara dan keluarga sebelah isterinya mengenalinya sebagai seorang penyanyi.

“Anak-anak buah saya dan isteri saya pun hafal lagu. Mereka siap boleh menyanyi dan menari. Mereka tahu lagu-lagu MK dan tahu mengenai kerjaya saya. Tetapi apabila berjumpa depan-depan, mereka layan saya seperti pak cik mereka sahaja.

“Sebab itu saya bersyukur mempunyai keluarga yang menyokong saya, bukan sahaja di luar bidang tetapi dalam kerjaya juga,” jelasnya.

Meskipun Aya sudah menunjukkan kecenderungan terhadap muzik rap pada usia muda, MK mengakui tidak pernah terfikir andai anaknya bakal mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi.

Bagaimanapun, dia tidak akan menghalang sekiranya Aya benar-benar menunjukkan minat terhadap bidang seni apabila dewasa kelak.

“Janganlah dia rap! Tetapi kalau dia minat rap, terpulanglah. Saya terbuka dengan anak saya. Saya mahukan yang terbaik untuk dia dan mahu dia melakukan apa yang dia suka. Saya tidak mahu menghalang atau mengehadkan minatnya.

“Yang penting, saya mahu dia tahu apa yang patut dan tidak patut, mana yang baik dan buruk serta mana yang halal dan haram. Insya-Allah, saya akan sentiasa ada untuk membimbing dia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×