PETALING JAYA: Mana-mana parti politik tidak seharusnya mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan dengan menentukan keputusan atau menjatuhkan ‘hukuman politik’ berhubung permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, semua pihak perlu memberikan ruang kepada proses yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan untuk berjalan tanpa tekanan, spekulasi atau campur tangan politik.
Beliau berkata, permohonan pengampunan melalui saluran yang sah merupakan hak Najib, sama seperti ruang berkenaan tersedia kepada mana-mana individu di sisi undang-undang.
“Kami tidak meminta mana-mana parti politik menentukan keputusan pengampunan ini.
“Justeru, mana-mana parti politik juga tidak seharusnya mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan dengan keputusan atau hukuman politik mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Nurul Amal, pendirian terhadap proses pengampunan juga perlu konsisten tanpa mengira latar belakang politik individu yang memohon.
“Pengampunan tidak boleh dianggap wajar apabila melibatkan pemimpin sendiri, tetapi dipersoalkan apabila melibatkan pemimpin daripada parti lain.
“Institusinya sama. Perlembagaannya sama. Maka penghormatannya juga harus sama. Perlembagaan tidak berubah mengikut warna parti,” katanya.
Nurul Amal berkata, sama ada permohonan itu diperkenankan atau sebaliknya, keputusan berkenaan perlu diserahkan kepada proses yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan.
Beliau berkata, hak Najib untuk permohonannya dipertimbangkan secara adil, bebas dan tanpa tekanan politik juga perlu dihormati.
“Pergerakan Puteri UMNO menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
“Semua pihak hendaklah menjaga tutur kata dan tidak mempolitikkan suatu proses yang masih berjalan,” katanya.
Sebelum ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan keputusan berhubung permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.-UTUSAN










