Papagomo kekal kena bayar Guan Eng, anak lelaki RM280,000

Papagomo kekal kena bayar Guan Eng, anak lelaki RM280,000

WAN MUHAMMAD AZRI WAN DERIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penulis blog, Papagomo kekal perlu membayar ganti rugi berjumlah RM280,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anaknya berhubung kes saman fitnah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Roslan Mat Nor memutuskan demikian selepas menolak permohonan Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 43, selaku defendan untuk menggantung pelaksanaan perintah pembayaran berkenaan.

“Oleh yang demikian, setelah mempertimbangkan segala asas yang dikemukakan permohonan pihak defendan adalah ditolak dengan kos RM5,000,” katanya.

Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Papagomo membayar jumlah tersebut kepada Guan Eng, 66, dan anaknya, Clint Lim Whay Chau, 33, kerana memfitnah mereka membawa masuk wang RM2 juta ke Singapura tanpa mengisytiharkannya.

Dalam penghakimannya, Hakim Roslan berkata, tiada sebarang keadaan istimewa (special circumstances) yang membolehkan mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah itu.

Katanya, mahkamah juga mendapati tiada sebarang keterangan yang dapat membuktikan bahawa pihak plaintif tidak berupaya untuk mengembalikan wang ganti rugi tersebut sekiranya defendan berjaya di peringkat rayuan.

“Mahkamah mendapati bahawa pihak defendan tidak dapat menunjukkan keadaan istimewa bagi mahkamah ini menggunakan budi bicara bagi mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan perintah.

“Plaintif-plaintif juga mempunyai keupayaan untuk mengembalikan bayaran ganti rugi sekiranya Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi kerana bukannya seorang yang muflis, sebaliknya mempunyai profesion dan jawatan yang mempunyai pendapatan,” katanya.

Hakim Roslan berkata, keyakinan defendan akan berjaya di peringkat rayuan juga bukan alasan kukuh untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah tersebut.

“Mahkamah merujuk kepada Seksyen 73 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang menjelaskan bahawa rayuan tidak boleh menjadi sebagai satu asas. Fakta bahawa terdapatnya satu rayuan tidak boleh dijadikan asas supaya sesuatu permohonan penggantungan diberikan.

“Adalah jelas dalam kes ini bahawa alasan utama penangguhan yang dipohon adalah disebabkan kerana terdapatnya keyakinan bahawa kes ini akan berjaya di Mahkamah Rayuan.

“Namun demikian, autoriti-autoriti yang dinyatakan tidak menjadikan itu asas untuk mahkamah ini membenarkan atau mempertimbangkan sesuatu penangguhan pelaksanaan,” katanya.

Kes dikendalikan peguam Norfazilah Jaafar mewakili Papagomo manakala Guan Eng dan anaknya diwakili peguam Simon Murali.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×