Imej dedah kemusnahan teruk pangkalan AS akibat serangan Iran

Imej dedah kemusnahan teruk pangkalan AS akibat serangan Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sebuah pesawat musnah, khemah berkecai dan treler rosak teruk merupakan antara imej dirakam anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan kerosakan besar akibat serangan Iran menyasarkan aset ketenteraan Washington di Asia Barat, lapor CBS News.

Menurut laporan itu pada Selasa, imej berkenaan yang tidak bertarikh dirakam di sebuah pangkalan di Arab Saudi dan dua kemudahan di Kuwait.

Imej itu diberikan kepada stesen CBS oleh anggota tentera AS dengan syarat identiti mereka dirahsiakan berikutan sekatan ketenteraan AS.

“Ini kerosakan besar kepada pangkalan kita yang tidak dimaklumkan kepada rakyat AS. Kita hanya berdiri di situ dengan mata tertutup sambil menerima serangan bertubi-tubi,” tambah anggota itu.

Laporan Ketua Pemeriksa Pentagon yang dikeluarkan awal minggu ini menyatakan Markas Pusat AS (CENTCOM) yang bertanggungjawab terhadap pasukan AS di Asia Barat melaporkan kerosakan meluas terhadap kemudahan dan peralatan tentera AS.

Menurut laporan itu, CENTCOM berkata, serangan Iran merosakkan dan memusnahkan ratusan bangunan serta struktur di pangkalan AS di Kuwait, Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Iraq, Oman dan Jordan.

Selain itu, berpuluh-puluh pesawat AS musnah atau rosak sepanjang perang, menurut laporan berkenaan.

Jabatan Pertahanan AS menganggarkan kos perang mencecah AS$33.4 bilion (RM136.86 bilion) setakat 29 Jun, namun angka itu tidak termasuk kos membaiki infrastruktur, menurut laporan tersebut.

AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari, dengan Presiden, Donald Trump berkata, matlamatnya adalah untuk menghalang republik Islam itu daripada memperoleh senjata nuklear.

Dakwaan itu berulang kali dinafikan Teheran yang menyatakan ia tidak berusaha mendapatkannya.

Iran membalas dengan melancarkan serangan di seluruh rantau itu dan menyekat Selat Hormuz, yang sebelum perang menjadi laluan bagi satu perlima bekalan minyak dunia, tindakan yang menyebabkan harga minyak melonjak dan mencetuskan kesan ekonomi di seluruh dunia.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×