Houthi serang Mekah

Houthi serang Mekah

PENYOKONG Houthi berhimpun dalam perhimpunan besar-besaran bagi membantah kenyataan Presiden AS, Donald Trump, yang dianggap menghina Mekah, di ibu negara Yemen, pada 16 Jun lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Arab Saudi berikrar akan menyekat sebarang ancaman keselamatan terhadap Mekah dan Madinah selepas berjaya memintas serangan dron kumpulan Houthi petang kelmarin.

Negara itu juga menegaskan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta jemaah umrah sebagai ‘garis merah’ yang tidak boleh dibolosi oleh sebarang ancaman.

Sehubungan itu, jurucakap gabungan tentera diketuai Arab Saudi, Turki al-Malki berkata, segala langkah sewajarnya akan diambil bagi menghalang sera­ngan seumpama itu daripada berulang.
Menurutnya, serangan dron yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi berhampiran Mekah kelmarin berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Arab Saudi.

Turki berkata, dron ber­ke­naan dipintas kira-kira pukul 6.50 petang waktu tempatan sebelum memasuki ruang udara Tanah Suci, dengan serpihannya jatuh di kawasan selatan Mekah.

“Pasukan Pertahanan Udara Diraja Arab Saudi memintas dan memusnahkan dron musuh yang dilancarkan militan Houthi sebelum memasuki kawasan ruang udara Kota Suci Mekah al-Mukarramah,” katanya dalam kenyataan di platform X.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai cubaan kedua Houthi menyasarkan Mekah, selepas se­buah peluru berpandu balistik dilancarkan ke arah Tanah Suci pada 27 Julai 2017.

Bagaimanapun, Houthi menafikan tuduhan itu dengan menegaskan kumpulan tersebut tidak melancarkan sebarang dron ke arah Mekah.

“Dakwaan mengenai cuba­an menyasarkan Mekah adalah pembohongan lapuk yang pernah digunakan sebelum ini dan tidak lagi memperdayakan sesiapa,” kata anggota biro politik Houthi, Hazem al-Assad, menerusi platform X.

Kejadian itu berlaku sehari selepas gabungan berkenaan memaklumkan 13 orang awam cedera dalam serangan peluru berpandu dan dron dilancarkan Houthi ke Khamis Mushait, Abha dan Taif, selain tujuh rumah serta dua kende­raan mengalami kerosakan.

Serangan itu turut mencetuskan kecaman daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menyifatkannya sebagai tindakan keji kerana menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang awam serta mencabu­li kesucian Tanah Suci dan masjid.

Sekretariat Agung OIC menegaskan pencabulan terhadap kesucian Tanah Suci tidak boleh diterima dan memerlukan tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Badan itu turut menyatakan solidariti penuh terhadap Arab Saudi serta menyokong langkah Riyadh melindungi orang awam, kedaulatan negara dan kesucian tempat ibadat.

Kecaman sama turut disuara­kan Liga Arab apabila Setiausaha Agungnya, Nabil Fahmy, mengutuk sekeras-kerasnya se­­rangan berterusan yang menyasarkan Arab Saudi sehingga menyebabkan kecederaan dan kerosakan harta benda.

Beliau mengulangi pendirian tegas Liga Arab menolak serangan berkenaan dan menggesa ia dihentikan serta-merta.

Nabil berkata, serangan ber­terusan terhadap negara-negara Arab meningkatkan ketegangan, mencetuskan pe­ningkatan konflik serta mengancam ke­­selamatan dan kestabilan se­rantau.

Pakistan turut menyatakan sokongan kepada Arab Saudi, dengan Perdana Menteri, Shahbaz Sharif, menggesa semua pihak mengamalkan sikap terkawal bagi mengelakkan ketegangan serantau daripada terus meningkat.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya cubaan serangan dron yang keji dan amat tercela terhadap tapak suci Mekah. Rakyat Pakistan sedih dan amat terganggu dengan kejadian itu,” katanya dalam hantaran di platform X semalam.

Pertempuran baharu antara Houthi yang disokong Iran dengan kerajaan Yemen disokong Arab Saudi turut mengheret Riyadh ke dalam konflik itu, selepas kumpulan tersebut mengisytiharkan sekatan ma­ritim terhadap Arab Saudi dan menyasarkan kapalnya di Laut Merah.

Dalam serangan pantas minggu lalu, kumpulan itu merampas kawalan ke atas keseluruhan pantai Laut Merah Yemen serta Selat Bab al-Mandab, laluan penting bagi eksport minyak Saudi ketika perang lebih meluas di Asia Barat menyebabkan laluan perkapalan strategik Selat Hormuz terjejas.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menggesa semua serangan terhadap kawasan awam dihentikan serta-merta termasuk sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan dan kesucian Tanah Suci.

Kata beliau, semua pihak yang terlibat harus memilih jalan damai menerusi dialog bagi meredakan ketegangan serta mencari penyelesaian tanpa berlengah.

“Saya mengikuti laporan mengenai sebuah dron yang berjaya dipintas berhampiran Makkah al-Mukarramah. Sebarang percubaan yang boleh mengancam keselamatan dan kesucian kota paling suci umat Islam ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Insiden ini sekali lagi mengingatkan kita akan keper­luan untuk mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan yang lebih meruncing di rantau tersebut,” katanya.

Anwar turut menzahirkan dukungan Malaysia kepada Arab Saudi serta menghargai tindakan pantas yang diambil bagi memastikan keselamatan penduduk dan para jemaah di Mekah terpelihara.

Dalam pada itu, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd. Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, rakyat Malaysia di Jeddah dan Makkah berada dalam keadaan selamat.

Menurutnya, grafik rasmi yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi juga telah diedarkan dalam kumpulan WhatsApp rakyat Malaysia di Wilayah Hijazi sambil meminta mereka supaya tidak panik.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×