Media bukan tempat tentukan masa depan Selatan Thai

Media bukan tempat tentukan masa depan Selatan Thai

ABU HAFEZ AL HAKIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Sebarang bentuk pentadbiran yang bakal menentukan masa depan tiga wilayah Selatan Thai perlu dikemuka serta dibincangkan secara rasmi di meja rundingan damai dan bukan dijadikan bahan retorik dalam media massa.

Jurucakap Majlis Syura Patani (Mara Patani), Abu Hafez Al Hakim berkata, gabungan yang dianggotai Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO), Barisan Pembebasan Islam Patani (BIPP) dan Gerakan Mujahideen Islam Patani (GMIP@Mujahideen) bersedia mendengar sebarang cadangan baharu kerajaan berkaitan perkara itu.

“Sebarang tuntutan atau cadangan mengenai bentuk pemerintahan sepatutnya dikemukakan secara rasmi di meja rundingan di Kuala Lumpur untuk perbincangan dan rundingan, bukan retorik dalam media massa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG), Thanut Suvarnananda bahawa kerajaan menolak pemberian taraf autonomi penuh seperti dituntut Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN).

Akhbar ini sebelum ini melaporkan Thanut sebagai berkata, konsep wilayah autonomi atau pemisahan wilayah tidak lagi relevan, sebaliknya satu bentuk pengurusan baharu kawasan terlibat perlu dibincangkan demi kebaikan semua pihak.

Abu Hafez berkata, pihaknya juga sedia mendengar cadangan balas baharu kerajaan apabila Proses Dialog Damai Selatan Thai disambung semula dengan melibatkan semua kelompok pergerakan pembebasan dan orang ramai.

Katanya, rundingan damai perlu diterus dan ditetapkan semula dengan pembabitan semua pergerakan pejuang pembebasan jika konflik yang berlarutan lebih 22 tahun mahu diselesaikan.

“Mara Patani juga mempunyai cadangan untuk menambah baik proses rundingan itu dan telah disampaikan kepada kerajaan melalui Thanut. Saya juga mendapat tahu bahawa proses gencatan senjata sedang dibincangkan oleh pasukan teknikal PEDP/RTG dan BRN dan belum dimuktamadkan,” ujarnya.

Sementara itu Presiden PULO, Kasturi Mahkota berpandangan, pergerakan pembebasan Selatan Thai sepatutnya tidak menyuarakan permintaan mendapatkan autonomi daripada kerajaan kerana perkara itu bercanggah dengan prinsip perjuangan menuntut kemerdekaan.

“Cara sesetengah pihak sekarang ini yang meminta autonomi, sedangkan Kerajaan Thailand tidak pernah menawarkannya adalah tidak betul dan melanggar prinsip perjuangan pembebasan.

“Selagi kita tidak dengar apa yang kerajaan hendak beri maka kita mesti teguh dengan prinsip pembebasan Patani. Jika dia (kerajaan) yang tawarkan autonomi, barulah kita bincang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×