JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri menyambut sambutan Hari Malaysia dengan kenangan paling istimewa apabila anak sulung mereka dilahirkan pada tarikh yang amat bermakna buat jutaan rakyat Malaysia, hari ini.
Pasangan yang berasal dari Kuala Lumpur itu baharu berpindah ke negeri ini kira-kira seminggu lalu, sebelum bayi yang dinanti lahir lebih awal daripada tarikh jangkaan.
Lam Ming Yee, 36 dan isterinya, Quay Pui Ling, 33, menyambut kelahiran bayi tersebut secara normal di Hospital Pakar Puteri, di sini pada pukul 6.15 pagi yang disambut Pakar Puan dan Perbidanan, Dr. Ding Kec Chuan.
Pui Ling berkata, tarikh jangkaan bayinya itu dilahirkan adalah pada 26 September.
“Tarikh jangkaan kelahiran sebenarnya pada 26 September. Namun, tidak sangka bayi ini hadir 10 hari lebih awal, bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia hari ini.
“Memang tidak sangka, air ketuban pecah pada pukul 2 pagi tadi, jadi saya terus bergegas ke hospital. Syukur semuanya berjalan lancar termasuklah proses kelahiran,” katanya kepada pemberita.
Tambah Pui Ling, kelahiran bayi perempuan tersebut melengkapkan keluarga kecil mereka, sekaligus menjadikan sambutan Hari Malaysia lebih bermakna buat mereka sekeluarga.
Bersempena sambutan Hari Malaysia hari ini, Hospital Pakar Puteri menerima empat kelahiran baharu.
Sementara itu, sepasang lagi suami isteri yang turut menyambut kehadiran seorang lagi cahaya mata sempena Hari Malaysia hari ini, Puteri Nadzatul Nadya, 26, dan pasangannya, Mohamad Syukri, 31.
“Alhamdulillah, bayi kedua kami ini dilahirkan dengan selamat walaupun tarikh jangkaan kelahiran pada awalnya adalah pada 6 Oktober depan.
“Atas faktor keselamatan, bayi kami dinasihatkan untuk dilahirkan lebih awal. Apapun saya bersyukur dan gembira atas kelahiran ini apatah lagi sempena sambutan Hari Malaysia,” katanya.-UTUSAN










