PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay, mengakui terkilan dengan sikap segelintir rakan industri yang didakwa memiliki sikap suka menjatuhkan orang lain.
Liyana, 38, berkata sifat saling menyokong dalam kalangan penggiat seni sudah tiada apabila ada pihak yang tidak senang dengan perkembangan kerjayanya yang kini bergelar pengarah.
“Sebenarnya benda ini bukannya datang daripada kalangan netizen sahaja. Saya bukan cuba nak menjatuhkan atau mengaibkan sesiapa, tetapi penyatuan dalam industri ini memang tak ada. Kebersamaan untuk memberi sokongan itu sangat kurang.
“Apabila melihat seseorang itu sudah ‘evolve’ (berevolusi) daripada satu tahap ke tahap yang lain, ia bukan satu perjalanan yang mudah. Saya sendiri dapat merasakan ‘vibe’ tersebut,” katanya ketika ditemui semasa majlis pelancaran trailer dan poster Pemuja Syaitan, di sini, semalam.
Tambah Liyana, kata-kata jahat yang cuba menjatuhkannya itu bukan datang daripada masyarakat awam tetapi individu dalam industri yang sudah dianggap sebagai kakak sendiri.
“Mungkin saya sendiri ada masalah kerana saya jenis yang cepat mesra. Bila saya kawan dengan seseorang, saya anggap macam kakak sendiri dan saya harapkan orang itu akan suka saya semula, tetapi sebenarnya tidak.
“Kita rasa sahaja orang sama-sama rambut hitam ini baik dengan kita, tapi mungkin sebenarnya mereka tidak berkenan dengan kita. Saya lebih sedih kalau mendengar kritikan daripada orang yang saya kenal berbanding orang asing,” katanya.
Dalam pada itu, Liyana yang mula menceburi bidang lakonan sejak kecil menegaskan bahawa dia dibesarkan dengan disiplin untuk sentiasa menghormati karya orang lain.
Malah, dia memegang pesanan nama besar besar industri seperti Datuk Rosyam Nor, Badar Haji Azmi, Ahmad Idham dan Datuk Afdlin Shauki yang mengajarnya supaya tidak bersikap ‘judgmental’ terhadap hasil seni.
“Seni ini tiada istilah salah atau betul. Ia adalah interpretasi seseorang terhadap visi dan misi mereka. Saya tidak pernah menghakimi karya orang lain.
“Namun, lumrah dalam industri kita, melihat orang jatuh itu lebih menyeronokkan daripada menepuk tangan. Orang lebih suka gelakkan kegagalan kita.
“Arwah bapa saya selalu pesan, untuk berjaya itu memang susah dan memang banyak orang akan benci kita dalam perjalanan menuju kejayaan tersebut. Jadi, saya harus terus kuat,” katanya
Terdahulu menerusi hantaran di Threads, Liyana meluahkan rasa kecewa apabila ada rakan industri yang bersikap talam dua muka apabila nampak baik di hadapan namun mengutuknya di belakang.
Dalam perkembangan lain, filem pertama arahan Liyana Jasmay bertajuk Pemuja Syaitan bakal menemui penonton bermula 15 Oktober nanti.
Filem berkenaan menampilkan Zul Ariffin Nadhir Nasar dan Aila Azizul. -UTUSAN










