Syria seperti 'dilahirkan semula' selepas bebas sekatan

Syria seperti ‘dilahirkan semula’ selepas bebas sekatan

DONALD Trump dan Ahmed al-Sharaa. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Presiden Syria, Ahmed al Sharaa, menyifatkan negaranya ibarat ‘dilahirkan semula’ selepas sekatan ekonomi antarabangsa secara rasmi ditarik balik.

Beliau menegaskan penarikan balik sekatan tersebut membuka laluan seluas-luasnya kepada pemulihan ekonomi, kemasukan pelaburan asing serta pengukuhan semula peranan Syria di peringkat serantau.

Berucap pada Sidang Kemuncak Media Arab 2026 di Dubai, al-Sharaa menjelaskan Syria sebelum ini berdepan dengan rejim sekatan yang amat ketat dengan sebahagian sekatan dikuatkuasakan seawal tahun 1979 lagi.

Kesan sekatan berlanjutan itu menyebabkan generasi baharu di Syria tidak terdedah kepada sistem transaksi kewangan antarabangsa serta kemudahan jaminan perbankan global.

Beliau turut mendedahkan usaha perantara yang melibatkan pemimpin Arab dan serantau termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang berhubung terus dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menyumbang kepada keputusan bersejarah bagi membatalkan sekatan berkenaan.

“Saya percaya Syria terlahir semula selepas sekatan ditarik balik dan laluan di hadapan kini terbuka luas. Dalam kata lain, segala belenggu sekatan telah pun dipecahkan,” katanya.

Beliau menambah fokus utama pentadbirannya kini adalah untuk menggubal dasar, prosedur serta pilihan tindakan yang betul bagi memacu pembangunan negara.

Menurut al-Sharaa, Syria sedang bertukar daripada sistem ekonomi yang menyerupai model sosialis yang sebelum ini dicemari birokrasi dan rasuah kepada sistem ekonomi liberal yang menyokong sektor swasta, walaupun peralihan itu dijangka menuntut beberapa keputusan yang sukar pada peringkat awal.

Dari sudut prestasi ekonomi, beliau memaklumkan bahawa nilai ekonomi Syria berada pada paras AS$60 bilion (RM243.5 bilion) pada 2010 sebelum merosot ke AS$20 bilion (RM81.1 bilion) pada 2024, sebelum kembali bangkit ke AS$32 bilion (RM129.8) pada 2025 dan dijangka mencecah AS$50 bilion (RM202.8) tahun ini.

Mengulas mengenai sasaran jangka panjang, al Sharaa menyatakan pelabur dari UAE, Arab Saudi, Qatar dan Kuwait kini mula melabur di Syria, dengan beberapa projek seperti penglibatan DP World di Pelabuhan Tartus sudah pun mula dilaksanakan bagi mencapai sasaran ekonomi AS$200 bilion (RM811.8 bilion) dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×