Bergson tak sabar sarung jersi Harimau Malaya, idam skor aksi 'debut' - Utusan Malaysia

Bergson tak sabar sarung jersi Harimau Malaya, idam skor aksi ‘debut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva tidak sabar menyarung jersi Harimau Malaya selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mewakili Malaysia sebagai pemain naturalisasi.

Bergson menyifatkan kelulusan daripada FIFA untuk mewakili Malaysia itu sebagai satu penghormatan besar sepanjang karier profesionalnya.

Pemain berasal dari Brazil itu mengakui tidak pernah membayangkan akan melalui proses naturalisasi untuk mewakili Malaysia ketika mula-mula mendarat di negara ini enam tahun lalu.

“Bila pertama kali datang ke sini, saya tidak pernah terfikir untuk dinaturalisasikan. Sasaran saya hanya satu iaitu memberikan yang terbaik buat JDT.

“Saya sangat gembira dengan prestasi dan sokongan padu yang diberikan oleh ‘boss’ (Tunku Mahkota Ismail) sepanjang perjalanan ini. Saya mahu membalas semula segala sokongan Malaysia menerusi kerja keras di atas padang,” katanya.

Ahad lalu, FIFA mengesahkan bahawa Bergson bersama rakan sepasukannya di JDT, Brad Tapp masing-masing layak mewakili skuad kebangsaan.

Bergson, 35, yang menyertai JDT pada 2021 dan melengkapkan tempoh lima tahun berada di Malaysia pada Februari lepas sekali gus membuka laluan untuk proses naturalisasi bagi membolehkannya mewakili Harimau Malaya.

Pengesahan kelayakan Bergson dan Tapp memberi lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan negara kendalian Tan Cheng Hoe menjelang persiapan menghadapi edisi sulung Piala ASEAN FIFA di Jakarta hujung bulan ini.

Mengulas kesediaannya menyarung jersi Harimau Malaya menjelang saingan Kelayakan Piala Asia dan kalendar FIFA, Bergson menegaskan dia sentiasa bersiap sedia sekiranya khidmatnya ditagih skuad kebangsaan.

Malah, penyerang prolifik itu turut menyimpan impian untuk terus mencetak nama sebagai penjaring pada aksi sulungnya kelak.

“Setiap hari saya tidur dan bangun dengan berfikir mengenai gol. Jika dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada 21 September ini, saya sentiasa sedia. Namun ia bukan bergantung kepada saya seorang kerana melibatkan isu birokrasi, tetapi keinginan saya memang ada,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai jersi pilihan bersama skuad kebangsaan, Bergson berseloroh menyerahkan keputusan itu kepada pihak pengurusan, namun mengakui menggemari jersi jentera serangan.

“Saya tidak ada pilihan dan akan terima apa sahaja nombor, tetapi saya gemarkan jersi nombor sembilan,” katanya sambil tertawa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×