KUALA LUMPUR: Pelakon, Janna Nick, 31, memaklumkan dia reda dengan ketentuan Allah yang belum mengurniakan zuriat untuknya dan suami, Dini Schatzman.
Janna, menerusi Thread berkata dia percaya Tuhan mengatur perancangan terbaik justeru berharap peminat berhenti daripada menaruh rasa simpati dengan keadaannya yang belum dikurniakan anak.
“Engkau orang janganlah simpati sangat dengan takdir orang yang cuba mendapatkan zuriat (TTC) macam saya ini.
“Saya okay sahaja, reda dengan ketentuan Allah S.W.T dan yakin dengan perancangan-Nya.
“Dia tahu apa yang terbaik untuk kami,” katanya.
Tambah Janna, walaupun adakalanya sedih dengan takdir tersebut, dia tetap menghargai kehidupan berdua bersama suami tersayang.
“Sedih sikit-sikit itu biasalah. Ada momen-momen macam itu yang datang dan pergi. Kadang-kadang memang tak boleh nak kawal.
“Hidup berdua sahaja pun takdelah ‘sendu’ sangat.
Bosan-bosan, boleh melancong tanpa fikir cuti sekolah anak. Tapi, sejujurnya saya okey,” katanya lagi.
Janna dan Dini mendirikan rumah tangga pada 10 Jun 2023 dan pasangan itu masih berusaha untuk mendapatkan zuriat.- UTUSAN










