Afieq Shazwan rancang tamat zaman bujang dua tahun lagi - Utusan Malaysia

Afieq Shazwan rancang tamat zaman bujang dua tahun lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Afieq Shazwan merancang untuk menamatkan zaman bujangnya dalam masa dua tahun lagi.

Enggan mendedahkan identiti wanita pilihannya, Afieq turut memaklumkan dirinya sudah menetapkan tarikh hari bahagia itu nanti akan berlangsung.

“Tarikh sudah pilih, tapi dua tahun lagi. Sasaran saya pada 28 Ogos 2028. Kalau ada jodoh, tidak ke mana. Setakat ini kami belum membuat persiapan apa-apa lagi.

“Tetapi, kalau betul-betul tiba masanya nanti saya akan umumkan,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media drama Sekali Lagi Bahagia terbitan IQIYI, pada Selasa.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Kepak Kepuk itu turut menyatakan pendiriannya untuk merahsiakan kisah peribadinya demi menjaga privasi kedua-dua belah pihak.

“Kawan-kawan pun menyokong, tetapi kami belum bersedia untuk ke langkah seterusnya. Hendak bercinta manis-manis pun tidak. Hanya berkawan sahaja. Simpanlah selepas kahwin nanti.

“Kadang-kadang apabila kita terlalu mendedahkan hubungan, kita tidak tahu apa yang boleh berlaku. Boleh menyebabkan bergaduh sampai tak mahu bersemuka atau berjumpa.

“Sekarang ini kami lebih fokus kepada kerjaya masing-masing. Apabila orang tidak terlalu tahu, hubungan itu lebih mudah dari segi komunikasi,” kongsinya

Bagaimanapun, Afieq mengakui dia sedang mempersiapkan diri untuk menjadi seorang suami memandangkan tanggungjawab yang bakal digalas selepas berumah tangga itu banyak cabarannya.

“Apabila kita fikir tentang bersedia untuk berkahwin, sebenarnya banyak aspek yang perlu dipersiapkan. Bila saya fikir semula, saya sendiri rasa agak takut untuk menamatkan zaman bujang sebab tanggungjawabnya besar.

“Saya tidak mahu nanti saya terlalu sibuk bekerja. Memanglah bekerja itu untuk mencari nafkah, tetapi saya tak mahu sampai mengabaikan keluarga saya nanti. Saya pun tidak tahu siapa bakal pasangan saya dan saya tidak mahu menghalang apa yang dia inginkan dalam hidup.

“Jadi, biarlah masing-masing mengejar apa yang diinginkan terlebih dahulu. Satu hari nanti, kalau betul-betul sudah bersedia, barulah kami akan umumkan,” jelasnya.

Sebelum ini, Afieq pernah dikhabarkan menjalinkan hubungan istimewa dengan penyanyi Wani Kayrie ketika menyertai program Big Stage 2018.

Sejak itu gosip percintaan mereka hangat diperkatakan, malah ada yang mendakwa mereka saling berbalas rasa menerusi lagu Cak Cak Cekuk dan Kepak Kepuk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×