Mengapa badan terasa sakit ketika diserang influenza?

Mengapa badan terasa sakit ketika diserang influenza?

SAKIT badan ketika influenza tanda sistem imun sedang melawan jangkitan, bukan semata-mata akibat virus menyerang seluruh tubuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAHKAH anda mengalami influenza sehingga seluruh badan terasa begitu lemah dan sakit seolah-olah baru dipukul? Kepala berdenyut, otot serta sendi terasa lenguh, tubuh menggigil dan tenaga seakan-akan hilang.

Lebih mengejutkan, keadaan itu boleh berlaku secara mendadak. Hari sebelumnya masih mampu bekerja seperti biasa tetapi keesokannya tubuh hanya mahu berbaring dan berehat.

Jika influenza merupakan jangkitan pada saluran pernafasan, mengapa kesannya boleh dirasakan di seluruh badan? Jawapannya berkait rapat dengan tindak balas sistem pertahanan badan terhadap virus, bukannya kerana virus tersebut menyerang setiap otot dan sendi.

Influenza ialah jangkitan saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza. Influenza A dan B merupakan jenis utama yang menyebabkan jangkitan bermusim dalam kalangan manusia, manakala influenza C lazimnya menghasilkan gejala lebih ringan. Influenza D pula kebanyakannya menjangkiti haiwan.

Apabila virus menyerang sel yang melapisi saluran pernafasan, sistem imun segera bertindak. Sel yang terjejas bersama sel pertahanan akan menghasilkan bahan kimia yang berfungsi sebagai isyarat kecemasan. Antaranya termasuk interleukin-1, interleukin-6, TNF dan interferon.

Bahan ini dikenali sebagai sitokin, iaitu protein yang membantu sel pertahanan berkomunikasi dan menyelaraskan tindak balas terhadap jangkitan. Namun, reaksi yang membantu tubuh melawan virus turut mencetuskan pelbagai gejala seperti demam, sakit kepala, lenguh badan dan keletihan.

Sakit otot atau myalgia merupakan antara tanda yang sering dikaitkan dengan influenza. Apabila paha, belakang atau bahu terasa lenguh, kita mungkin menyangka virus telah menyerang bahagian tersebut. Sebenarnya, kesakitan itu lebih banyak berpunca daripada tindak balas keradangan yang meningkatkan kepekaan tubuh terhadap rangsangan sakit.

Keadaan sama boleh menyebabkan sendi terasa tidak selesa. Dalam kebanyakan kes influenza biasa, rasa sakit tersebut tidak bermaksud virus menyerang setiap sendi. Jangkitan mungkin bermula di saluran pernafasan tetapi tindak balas imun memberi kesan kepada seluruh tubuh.

Ketika sistem pertahanan bekerja, pelbagai proses berlaku serentak. Sel imun diaktifkan, protein pertahanan dihasilkan dan tisu yang terjejas mula dipulihkan. Bahan keradangan turut mempengaruhi otak sehingga seseorang berasa mengantuk, hilang selera makan, kurang bertenaga dan terdorong untuk berehat.

Keinginan untuk tidur atau mengurangkan aktiviti sebenarnya mempunyai fungsi tersendiri. Tubuh memerlukan tenaga untuk melawan jangkitan dan proses pemulihan. Demam pula sebahagian daripada mekanisme pertahanan apabila suhu badan dinaikkan sebagai tindak balas terhadap kehadiran virus. Perubahan itu boleh menyebabkan seseorang berasa sejuk serta menggigil.

Ubat seperti paracetamol boleh digunakan mengikut dos yang sesuai bagi mengurangkan demam dan kesakitan, sekali gus membantu pesakit berehat dengan lebih selesa.

Influenza berbeza daripada selesema biasa walaupun kedua-duanya boleh menyebabkan batuk, sakit tekak serta hidung berair atau tersumbat. Influenza lebih cenderung menimbulkan demam, menggigil, sakit kepala, lenguh otot dan keletihan yang ketara. Gejalanya juga lazimnya muncul secara tiba-tiba.

Kebanyakan individu yang sihat akan pulih dengan rehat mencukupi, pengambilan air yang mencukupi serta rawatan bagi mengurangkan gejala. Namun, risiko komplikasi lebih tinggi dalam kalangan warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan individu yang mempunyai penyakit kronik atau sistem imun yang lemah.

Kesukaran bernafas, sakit dada, kekeliruan, dehidrasi teruk atau keadaan yang semakin memburuk memerlukan pemeriksaan perubatan.

Jadi, apabila influenza menyebabkan seluruh badan terasa sakit, jangan terus menganggap virus telah menyerang setiap otot dan sendi. Kebanyakan rasa lenguh, demam serta keletihan merupakan kesan tindak balas sistem imun terhadap jangkitan. Virus mungkin bermula di saluran pernafasan tetapi isyarat kecemasan yang dicetuskan tubuh boleh dirasakan dari kepala hingga ke hujung kaki. –UTUSAN

DR. IDA SHAZRINA ISMAIL
Pensyarah, Jabatan Sains Bioperubatan,
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi,
Universiti Sains Malaysia (USM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×