LKIM lahirkan anak nelayan mahir baiki bot, enjin

LKIM lahirkan anak nelayan mahir baiki bot, enjin

MUHAMMAD Faiz Fadzil (tengah) ketika ditemui media pada sidang akhbar di Pejabat Penghulu Mukim Matang, hari ini.- UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING : Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperluas peluang pendidikan dan kemahiran kepada anak nelayan menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam bidang pembaikan bot dan enjin.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, langkah itu bertujuan memastikan generasi baharu terus terlibat dalam ekosistem industri perikanan negara, selain memiliki kemahiran bertauliah dan peluang kerjaya lebih baik.

Katanya, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan institusi kemahiran berkaitan selama 15 bulan, meliputi pembelajaran teori dan amali.

“Seramai 12 anak nelayan dipilih sebagai kumpulan pertama untuk mengikuti program ini yang membabitkan latihan teori di institusi kemahiran, manakala latihan amali dilaksanakan di limbungan di Kuantan, Pahang.

“Kita fokus kepada anak-anak nelayan untuk memberikan satu kemahiran yang bertauliah dalam bidang ini, terutamanya pembaikan bot dan enjin atau berkaitan kapal ikan.

“Tujuannya untuk memastikan anak-anak nelayan ini mempunyai masa depan yang baik dalam industri perikanan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rahmah Mesra Madani di Matang, hari ini.

Menurutnya, sektor pembaikan kapal adalah antara komponen penting dalam ekosistem perikanan dan penglibatan anak nelayan dalam bidang itu mampu memastikan lebih banyak rantaian industri dikuasai komuniti berkenaan.

Faiz berkata, LKIM memperuntukkan kira-kira RM150,000 bagi melaksanakan program itu, yang tidak menggunakan peruntukan belanjawan tahunan.

Beliau berkata, peserta perlu berusia 18 tahun ke atas serta mempunyai minat dan kesungguhan untuk menceburi bidang pembaikan kapal.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata LKIM terus memperkukuh kebajikan nelayan menerusi bantuan bencana alam, kematian dan perumahan.

Katanya, RM47,400 disalurkan kepada ketua-ketua di tujuh kawasan nelayan di Perak bagi bantuan bencana alam dan kebajikan.

Selain itu, sebuah rumah baharu bernilai RM84,000 diserahkan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan di Matang, manakala bantuan perumahan tahun ini membabitkan dua rumah bina baharu dan tiga rumah dibaik pulih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×