PETALING JAYA: Selepas dikecam susulan persembahannya dalam pertandingan nyanyian Silk Way Star 2 di China, penyanyi Amsyar Lee tampil menjelaskan konsep yang dibawakan dalam setiap episod bagi mengelakkan penonton membuat kesimpulan terlalu awal.
Amsyar atau Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri, 27, berkata, setiap persembahannya mempunyai jalan cerita tersendiri dan saling berkait dan perlu ditonton sehingga episod terakhir bagi memahami keseluruhan konsep yang cuba diketengahkan.
“Episod pertama, saya bagitahu bahawa aura datang dari dalam, bukan daripada siapa yang kita dengar. Episod kedua, Kesuma, saya sebagai panglipur lara yang menyatukan dua bangsa.
“Episod ketiga, saya sekali lagi menjadi panglipur lara yang bercerita tentang seorang puteri dalam lagu itu, jadi ada puteri China. Awak semua perlu tengok sampai habis episod terakhir saya, barulah awak akan faham,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Amsyar berkata, penonton tidak seharusnya membuat kesimpulan berdasarkan perkara yang disampaikan oleh pihak tertentu tanpa memahami keseluruhan jalan cerita persembahannya.
“Jangan cuba-cuba percaya anasir yang membuatkan korang cepat membuat kesimpulan tanpa tahu keseluruhan. Aneh-aneh sahaja yang percaya pun.
“Kalau tidak faham, boleh tanya saya. Saya sendiri boleh jelaskan apa yang ingin disampaikan menerusi persembahan tersebut.
“Kalau mengenai suara saya, itu kena tanya ALLAH SWT. Daripada Allah kita datang dan kepada-Nya kita kembali,” katanya.
Perkongsian itu dibuat oleh Amsyar selepas persembahannya menerusi lagu Kesuma nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendapat ulasan serta kritikan daripada seorang pengguna Threads.
Untuk rekod, Silk Way Star 2 merupakan pertandingan muzik antarabangsa yang berlangsung di Yiwu, China, dengan penyertaan artis dari 12 negara termasuk Malaysia, China, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Rusia, Turkiye, Vietnam, Serbia, Afrika Selatan, New Zealand, Brazil dan Georgia.










