ALOR SETAR: Empat warga China bersama seorang lagi yang telah dituduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang wanita dari negara itu, bulan lalu.
Tertuduh, Huang Jian, 39; Wang Hao Yu, 33; Guan Siqi, 24, dan Liu Tingjun, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dalam bahasa Mandarin dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama Wong Hao, 27, didakwa menculik Xiong Xi Qiao, 33, dengan niat supaya mangsa dikurung secara rahsia dan salah di sebuah rumah di Taman Amira, Jalan Langgar, di sini pada pukul 8.40 malam, 7 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun penjara dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien, sementara Guan Siqi diwakili peguam, S. Suresh dan tiga lagi tertuduh diwakili peguam, Jodia Poh Yi Tying.
Pihak pendakwaan memohon tiada jaminan ditawarkan disebabkan beberapa faktor termasuk tertuduh berisiko melarikan diri dan kedua-dua peguam juga tidak merayu untuk jaminan disebabkan keputusan terdahulu terhadap Wong Hao.
Hakim Priscilla Hemamalini kemudian memutuskan tiada sebarang jaminan dibenarkan dan 11 Oktober ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.
Pada 10 September lalu, Wong Hao mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan menculik mangsa yang sama di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.
Dalam kejadian pada 8 Ogos lalu, dua suspek dipercayai warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika operasi menyelamatkan dua mangsa culik di Taman Amira.
Kejadian berlaku apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyerbu sebuah rumah di kawasan perumahan itu bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa.
Susulan itu, polis menahan enam individu terdiri seorang lelaki tempatan, empat lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing yang berusia antara 20-an hingga 40-an dalam serbuan berasingan di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. – UTUSAN










