WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) menolak usaha Presiden, Donald Trump untuk mengehadkan pengundian melalui pos menjelang pilihan raya pertengahan penggal November.
Mahkamah tersebut menolak permintaannya untuk membatalkan perintah yang menghalang pelaksanaan rancangan kontroversi itu.
Hanya dua daripada enam hakim konservatif dalam panel sembilan anggota itu menyatakan pendirian berbeza.
Hakim, Brett Kavanaugh dalam pendapat yang menyokong keputusan majoriti berkata, rancangan Trump mungkin akhirnya sah dari segi undang-undang, tetapi pegawai pilihan raya negeri dan tempatan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melaksanakan peraturan itu secara munasabah sebelum pilihan raya.
Beberapa negeri, termasuk North Carolina, sudah mula menghantar kertas undi pos kepada pengundi.
Trump menandatangani perintah eksekutif pada Mac yang bertujuan mengehadkan pengundian melalui pos, dengan mendakwa tanpa bukti kaedah itu terdedah kepada penipuan. Perintah itu segera mencetuskan beberapa cabaran undang-undang.
Negeri-negeri yang diterajui Parti Demokrat memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump dengan alasan bahawa di bawah Perlembagaan AS, negeri-negeri dan bukannya kerajaan persekutuan mempunyai kuasa luas untuk mengendalikan pilihan raya.
Perintah eksekutif Trump itu akan mewajibkan penyediaan senarai pengundi yang layak, manakala Perkhidmatan Pos AS (USPS) hanya dibenarkan menghantar kertas undi kepada pengundi yang tersenarai.
Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU) menyambut keputusan Mahkamah Agung itu sebagai ‘kemenangan besar’ bagi hak mengundi, integriti pilihan raya dan demokrasi.
“Pentadbiran ini terus menguji batas kuasanya, seolah-olah peraturan yang mengawal pilihan raya kita hanyalah cadangan yang boleh diabaikan apabila tidak sesuai dengan agenda presiden.
“Presiden tidak mengendalikan pilihan raya kita, perkhidmatan pos tidak berhak menentukan undi siapa yang dikira dan pengundi. Bukannya Rumah Putih yang akan menentukan keputusan pilihan raya November,” kata Pengarah Projek Hak Mengundi ACLU, Sophia Lin Lakin.
Pegawai daripada beberapa negeri sebelum ini memberi amaran ketidakjelasan undang-undang berhubung rancangan itu mencetuskan kekacauan beberapa bulan sebelum pengundian pada 3 November.
Seorang pemberi maklumat USPS turut memberi amaran berjuta-juta rakyat AS mungkin tidak menerima kertas undi kerana sistem yang digunakan perkhidmatan pos itu dibangunkan secara cuai dan tergesa-gesa.
Trump sudah lama mengkritik pengundian melalui pos tetapi kerap menggunakannya sendiri, termasuk ketika mengundi melalui pos dalam pemilihan utama Parti Republikan di Florida awal tahun ini.
Tinjauan menunjukkan Parti Republikan pimpinan Trump berdepan ancaman serius kehilangan penguasaan tipis di Kongres pada November, khususnya di Dewan Perwakilan.
Jika Demokrat menang, mereka memberi isyarat akan menghalang agenda Trump, malah boleh mengambil langkah untuk memecatnya buat kali ketiga melalui proses pendakwaan.-AFP









