ACLE: Buriram hormati JDT, tetap yakin kemampuan anak buah - Utusan Malaysia

ACLE: Buriram hormati JDT, tetap yakin kemampuan anak buah

KETUA jurulatih Buriram United, Mario Silva bersama pemain, Kenneth Dougall pada sidang media menjelang perlawanan ACLE menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pengendali baharu Buriram United, Mario Silva menyifatkan perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia elit (ACLE) sebagai satu pertembungan dua kelab gergasi Asia Tenggara yang bakal menguji tahap sebenar kedua-dua pasukan.

Meskipun baharu mengendalikan kelab gergasi Thailand tersebut, jurulatih kelahiran Brazil itu percaya skuad kendaliannya berada pada landasan terbaik untuk meraih keputusan positif walaupun sedar ancaman besar yang mampu dihadirkan skuad Harimau Selatan.

“Ini perlawanan yang sangat istimewa buat saya kerana ia penampilan pertama di ACLE bersama Buriram. Saya tahu ia bakal menjadi tugas sukar buat kedua-dua pasukan dua kelab gergasi Asia Tenggara ini mempunyai kekuatan tersendiri.

“JDT adalah pasukan yang kuat dan dibarisi pemain individu yang hebat. Di liga domestik, mereka sukar digugat. Namun, apa yang paling penting ialah persembahan kolektif pasukan saya sendiri,” katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, petang tadi.

Mengulas mengenai persiapan taktikal, Silva mengakui sudah membuat analisis terperinci mengenai kekuatan dan kelemahan lawan, selain mendapatkan pandangan daripada kapten pasukannya, Kenneth Dougall.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan cabaran utama yang dihadapi ketika ini adalah kesuntukan masa latihan di padang berikutan jadual perlawanan padat dan proses pemulihan pemain.

“Memang benar kami tidak mempunyai masa yang panjang untuk berlatih secara fizikal di padang. Kebanyakan kerja dilakukan menerusi analisis video dan perincian kecil.

“Tetapi saya tidak bimbang kerana asas yang dibina oleh pasukan ini dalam tempoh dua bulan lalu amat kukuh. Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap profesionalisme dan kualiti yang ada pada barisan pemain saya,” jelasnya.

Beliau turut menambah, kunci utama untuk menundukkan skuad kendalian Xisco Munoz itu adalah dengan memastikan skuad Thunder Castle beraksi pada tahap tertinggi sepanjang 90 minit perlawanan.

Sementara itu, Dougall berkata, rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan sebelum ini tidak memberi kelebihan buat Buriram, malah mengakuinya perlu bekerja keras bagi memastikan hasrat membawa pulang tiga mata tercapai.

“Ini merupakan perlawanan ketujuh kami menentang JDT dalam tempoh tiga tahun. Kami sentiasa menjangka perlawanan yang sukar apabila berdepan mereka.

“Walaupun kami meraih keputusan agak baik sepanjang dua musim lalu, perkara itu tidak membawa makna untuk perlawanan esok. Menerusi pembaharuan ACLE, laluan kali ini jauh lebih sukar dan amat penting untuk kami bermula dengan langkah kanan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×