KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 wanita daripada pelbagai latar belakang diperkenalkan sebagai finalis Miss Universe Malaysia (MUM) 2026, sekali gus bakal bersaing merebut mahkota berprestij itu pada malam kemuncak pertandingan, 2 Oktober depan.
Ratu Prestigious Event Management (RPEM) hari ini memperkenalkan 13 daripada keseluruhan 15 finalis yang akan berentap dalam pertandingan berkenaan, manakala dua lagi peserta akan diumumkan dalam masa terdekat.
Presiden RPEM merangkap Pengarah Nasional MUM, Ayu Omar berkata, kesemua finalis akan menjalani program intensif selama enam hari yang merangkumi bengkel pengucapan awam dan pembangunan diri sebagai persiapan menghadapi pentas antarabangsa.
Mereka yang terpilih ialah Wenn Sin, 31; Shawn, 22; Shalini Devi, 29; Sapphire Wong, 33; Preevena, 25; K Pratiba, 27; Khai Chin, 30; Eunice Wong, 37; Emanuelle, 31; Diana Charles, 39; Desaeny, 34; Clarysse, 25 dan Amreet, 30.
Menurut Ayu, pertandingan tahun ini yang mengangkat tema ‘Legacy Reimagined’ tampil dengan kelainan apabila penyertaan dibuka kepada wanita berusia antara 21 hingga 50 tahun.
Katanya, pendekatan inklusif itu mencerminkan pegangan RPEM bahawa kecantikan bukan semata-mata dinilai berdasarkan usia atau penampilan fizikal, sebaliknya turut merangkumi kematangan, kekuatan jiwa dan keupayaan seseorang wanita memberi inspirasi kepada masyarakat.
“Pendekatan inklusif ini mencerminkan pegangan RPEM bahawa kecantikan sebenar tidak hanya diukur melalui usia dan penampilan fizikal, tetapi turut terserlah menerusi kematangan, kekuatan jiwa dan keupayaan memberi inspirasi kepada masyarakat,” katanya pada sidang media pengenalan finalis, di sini, Rabu.
Sementara itu, finalis Amreet berkata, penyertaannya dalam MUM 2026 menjadi langkah untuk membina semula keyakinan diri selain mahu menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat selepas melalui komplikasi ketika melahirkan anak sulungnya.
Guru berkenaan berkata, pengalaman tersebut menyebabkan dirinya berdepan tempoh sukar sebelum mengambil keputusan untuk kembali mengejar impian yang diinginkan.
“Saya berasa sangat ‘down’. Selepas tamat tempoh berpantang, saya mahu dapatkan balik keyakinan diri dan melakukan apa yang saya hajati, dan hari ini saya berada di sini,” katanya.
Bagi Emanuelle pula, penyertaannya dalam pertandingan itu didorong minat terhadap cabaran baharu serta keinginan untuk terus berkembang dalam kehidupan.
Bekas atlet renang berirama negara dan pemenang tiga pingat emas Sukan SEA itu menyifatkan pentas MUM 2026 sebagai peluang untuk membawa disiplin tinggi serta semangat kesukanan ke dunia peragaan.
“Saya sentiasa sukakan cabaran. Saya pernah mengembara, bekerja di pelbagai lokasi dan bertemu ramai orang. Apabila peluang ini muncul, saya fikir saya perlu merebutnya sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada tiga anak, Sapphire Wong berkata, penyertaannya dalam pertandingan berkenaan bertujuan menggalakkan golongan ibu supaya berani mengejar impian tanpa dibatasi usia mahupun status perkahwinan.
Suri rumah dan model sambilan yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri peragaan itu mahu membuktikan bahawa wanita mampu melangkah dari rumah ke pentas antarabangsa sekiranya memiliki keberanian dan kesungguhan.
Minggu Pertandingan (Pageant Week) MUM 2026 akan bermula pada 29 September ini, diikuti Preliminary Competition pada 30 September sebelum malam kemuncak berlangsung pada 2 Oktober depan.









