Kerajaan teliti tawaran pemilikan kapal peronda AS untuk kegunaan Maritim

Kerajaan teliti tawaran pemilikan kapal peronda AS untuk kegunaan Maritim

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika meluncurkan AI Digital Human di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan kini meneliti tawaran Amerika Syarikat (AS) bagi pemilikan sebuah kapal peronda untuk kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu masih di peringkat penelitian lanjut termasuk memastikan ia tidak membebankan kerajaan dari segi kos pembaikan.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini sudah menerima sebuah kapal daripada AS yang telah dibawa pulang ke Malaysia dan dibaik pulih yang kini beroperasi di Sabah di bawah kendalian Maritim Malaysia.

“Jadi saya fikir itu kaedah yang munasabah. Bila kita bawa balik yang itu tahun lalu, sekarang kita tugaskan di Kota Kinabalu, di Sabah.

“Mereka (AS) kemudian menulis pada saya untuk menawarkan kapal yang kedua. Jadi pertama kita mesti buat pemeriksaan sendiri. Jadi saya tugaskan Ketua Setiuasaha KDN untuk pergi lihat dan kemudian beri laporan kepada saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Katanya, kerajaan tidak mahu menerima aset berkenaan sekiranya kos membaik pulih dan menyelenggaranya kelak lebih tinggi berbanding manfaat yang diperoleh.

Saifuddin berkata, keputusan menerima kapal kedua itu hanya akan dibuat selepas laporan pemeriksaan dikemukakan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, perolehan aset Maritim Malaysia akan diteruskan, termasuk pembinaan dua kapal baharu oleh syarikat dari Turkiye.

Katanya, Malaysia dijangka menerima kapal pertama yang tiba pada Mac tahun depan dan kapal kedua pada penghujung tahun sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×