PETALING JAYA: Hampir 300 kanak-kanak menyertai Pertandingan Mewarna ‘Raikan Seni Kita, Jiwa Bangsa’ anjuran Eco-Shop di Kompleks Komuniti Muhibbah sebagai kemuncak kempen bersempena sambutan Merdeka tahun ini.
Pertandingan itu disertai 252 pelajar daripada lebih 15 sekolah rendah di seluruh Kuala Lumpur, manakala 44 kanak-kanak daripada rumah kebajikan turut menyertai aktiviti mewarna yang diadakan sempena program berkenaan.
Pelajar mewarnakan karya asli hasil kolektif kreatif tempatan, Projek SembangSembang menggunakan alat tulis jenama milik Eco-Shop, KREATI.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop Malaysia, Jessica Ng berkata, kempen itu bertujuan memberi peluang kepada generasi muda meneroka makna Malaysia kepada mereka menerusi kreativiti dan ekspresi diri.
“Pertandingan mewarna ini memberi peluang kepada pelajar menzahirkan makna Malaysia kepada mereka menerusi seni.
“Kami berharap ia dapat menggalakkan mereka meraikan kreativiti serta membina rasa kekitaan yang lebih kukuh terhadap negara yang mereka anggap sebagai tempat sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Daripada 252 peserta, seramai 55 pelajar dipilih sebagai pemenang yang terdiri daripada lima pemenang utama dan 50 pemenang saguhati.
Lima pemenang utama menerima hadiah wang tunai antara RM100 hingga RM1,500, manakala sekolah masing-masing turut menerima hadiah.
SJK(C) Mun Choong menerima RM10,000, manakala SK Seri Permaisuri menerima RM5,000. SK Desa Petaling yang melahirkan pemenang tempat ketiga dan keempat pula menerima RM3,000 dalam bentuk peruntukan penambahbaikan sekolah bagi tempat ketiga dan baucar RM1,000 bagi tempat keempat.
Sementara itu, SK Kampong Bharu menerima baucar RM500 bagi pemenang tempat kelima.
Setiap 50 pemenang saguhati menerima baucar Eco-Shop bernilai RM100, manakala setiap sekolah yang mengambil bahagian menerima baucar Eco-Shop bernilai RM500 sebagai tanda penghargaan.
Dalam pada itu, program itu turut disertai 44 kanak-kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu serta Suriana Welfare Society Malaysia. Rumah kebajikan yang mengambil bahagian turut menerima sumbangan daripada Eco-Shop.
Jessica berkata, penyertaan kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang memberi ruang kepada mereka menzahirkan pandangan dan tafsiran masing-masing mengenai Malaysia menerusi karya seni.
“Tiada satu cara khusus untuk menzahirkan makna Malaysia kepada kita dan kami berharap kanak-kanak pulang hari ini dengan mengetahui bahawa pandangan mereka turut mempunyai tempat dalam kisah bersama kita,” katanya. – UTUSAN










