KOTA TINGGI: Allahyarham Mohd. Noor Selamat, 58, yang maut dalam kemalangan dua buah kenderaan di Kilometer 31.2, Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini petang semalam sepatutnya baharu pulang dari Pulau Aur, Mersing hari ini.
Anaknya, Aireen Shahira Mohd. Noor, 32, bagaimanapun berkata, ayahnya terpaksa pulang sehari awal daripada perancangan asal susukan keadaan angin yang kuat di lautan.
Menurutnya, bapanya yang bekerja sebagai pengurus kilang merupakan seorang individu yang mempunyai hobi memancing bersama rakan-rakannya.
“Arwah bertolak ke Pulau Aur, Mersing Sabtu lalu untuk memancing selama tiga hari dua malam bersama dua rakannya. Tetapi disebabkan cuaca buruk serta angin kencang di laut, kumpulan mereka diminta pulang lebih awal daripada jadual asal.
“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah adalah sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), di sini hari ini.
Tambah Aireen Shahira, antara komunikasi terakhir antaranya bersama arwah bapa adalah menerusi aplikasi WhatsApp apabila arwah menghantar lokasi keberadaannya.
“Sebelum kejadian, arwah ada hantar lokasi terakhirnya menerusi WhatsApp. Itu memang tabiat biasanya setiap kali turun ke laut untuk memberitahu dia berada di mana.
“Walaupun kami tinggal berjauhan, arwah seorang yang ceria dan suka bergurau dengan anak-anak. Itu kenangan yang tidak boleh dilupakan,” katanya sambil memberitahu ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak, Kluang.-UTUSAN










