SELARI dengan fokus kerajaan memperkukuh pendekatan kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat (WOGOS) seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) kini dilihat semakin mengarusperdanakan konsep tersebut dalam agenda keselamatan negara.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tanggungjawab memelihara kedaulatan negara tidak wajar diletakkan kepada MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata. Sebaliknya, seluruh lapisan masyarakat perlu memainkan peranan bagi memastikan Malaysia terus aman, merdeka dan berdaulat.
Pendekatan ini membuka ruang lebih luas untuk mengiktiraf sumbangan pelbagai kelompok, termasuk wanita yang selama ini kurang diketengahkan sebagai komponen penting dalam pertahanan negara.
Hakikatnya, peranan wanita dalam masyarakat semakin berkembang jauh melangkaui lingkungan tradisional. Penglibatan mereka dalam pendidikan, pembangunan komuniti, keusahawanan, teknologi serta sokongan kepada keluarga anggota tentera turut menyumbang kepada pembentukan ketahanan nasional.
Dalam ATM sendiri, penyertaan wanita semakin menunjukkan perkembangan positif. Melalui Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan, MINDEF menetapkan sasaran penyertaan wanita sekitar 15 peratus. Langkah ini bukan sekadar berkaitan angka, sebaliknya mencerminkan usaha memperluas kumpulan bakat dan kepakaran dalam institusi pertahanan.
Pada masa sama, aspirasi tersebut selari dengan agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan (WPS) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf wanita sebagai peserta penting dalam keamanan, pencegahan konflik dan pemulihan pascakonflik.
Agenda WPS yang diperkenalkan Majlis Keselamatan PBB pada 2000 berteraskan empat tonggak utama, iaitu penyertaan, perlindungan, pencegahan dan pemulihan. Malaysia turut menerapkan prinsip berkenaan melalui penglibatan wanita dalam misi pengaman antarabangsa.
Pengalaman anggota wanita Malaysia dalam misi seperti Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Referendum di Sahara Barat (MINURSO) menunjukkan penyertaan mereka mempunyai nilai praktikal, bukan sekadar memenuhi representasi gender.
Malah, Malaysia menerima Anugerah Kesaksamaan Gender PBB ketika Persidangan Menteri Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Berlin pada Mei 2025 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen negara dalam memperkukuh kesaksamaan gender dalam pasukan beruniform.
Keperluan memanfaatkan bakat wanita menjadi semakin penting apabila landskap pertahanan berubah dengan pantas. Peperangan moden tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kekuatan fizikal, sebaliknya semakin dipengaruhi teknologi, data, risikan, keselamatan siber dan keupayaan membuat keputusan dalam keadaan kompleks.
Perubahan ini menuntut kepakaran yang pelbagai. Justeru, wanita perlu diberikan peluang menduduki posisi strategik dalam bidang seperti risikan, siber, analisis data, perancangan operasi dan pengurusan risiko.
Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK) antara negara yang telah memperluas ruang kepada wanita dalam cabang kritikal pertahanan, termasuk keselamatan siber serta perisikan. Pendekatan tersebut memperlihatkan bahawa kekuatan sesebuah angkatan tidak semestinya bergantung kepada jantina, tetapi sejauh mana bakat terbaik dapat dimanfaatkan secara optimum.
Bagi Malaysia, sasaran penyertaan wanita sekitar 15 peratus boleh menjadi pemangkin kepada perubahan lebih besar. Namun, angka tersebut perlu disokong laluan kerjaya yang jelas, peluang kepimpinan, latihan berkualiti serta persekitaran kerja yang kondusif.
Sudah tiba masanya wanita tidak lagi dilihat sekadar pelengkap dalam ekosistem pertahanan. Mereka perlu diberikan ruang untuk menyumbang pada tahap operasi, kepakaran dan kepimpinan. Dalam kerangka WOGOS, pertahanan negara ialah tanggungjawab bersama dan kekuatan Malaysia akan lebih terserlah apabila setiap bakat yang ada diberi peluang untuk memainkan peranan secara bermakna. –UTUSAN
FAHMIZA MOHAMAD STEPHEN
Pensyarah,
Pusat Pengajian Jarak Jauh (PPJJ),
Universiti Sains Malaysia (USM)










