Elaun RM30 tidak setimpal risiko tugas doktor

Elaun RM30 tidak setimpal risiko tugas doktor – bekas petugas Medevac

Operasi mencari dan menyelamat di sekitar lokasi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang terhempas berdekatan Long Lellang STOLport, Ulu Baram, Sarawak. – BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kadar Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara sebanyak RM30 bagi satu penerbangan pergi dan balik dilihat wajar dikaji semula kerajaan, mengambil kira risiko serta cabaran yang terpaksa dihadapi petugas kesihatan ketika menjalankan perkhidmatan Flying Doctor Service (FDS).

Seorang doktor perubatan yang pernah terlibat dengan perkhidmatan kesihatan udara di Sarawak berkata, kadar berkenaan dilihat tidak lagi setimpal dengan risiko yang dipertaruhkan petugas.

Doktor berkenaan yang hanya mahu dikenali Dr. D berkata, ia khususnya mereka yang perlu melakukan penerbangan ke kawasan pedalaman bagi memastikan masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

“Kerajaan perlu melihat semula kadar ini kerana RM30 bagi satu penerbangan pergi dan balik dilihat amat kecil berbanding risiko yang perlu ditanggung petugas sepanjang menjalankan tugas.

“Mereka bukan sahaja berdepan cabaran perjalanan ke kawasan pedalaman, tetapi juga risiko penerbangan dan keadaan operasi yang tidak semestinya sama seperti perkhidmatan kesihatan di kawasan bandar,” katanya.

Menurut dokumen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara diwujudkan pada 1978 dengan objektif memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman dapat disediakan melalui perkhidmatan kesihatan udara.

Bayaran itu yang tidak pernah dikaji sejak 48 tahun lalu itu meliputi Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat dan Jururawat Masyarakat yang terlibat dalam perkhidmatan kesihatan udara.

Kadar ditetapkan sebanyak RM30 bagi satu penerbangan pergi dan balik dalam sehari, manakala penerbangan pergi dan balik yang melibatkan hari berlainan turut dibayar RM30.

Jika dalam sehari melibatkan lebih daripada satu penerbangan, bayaran dikira berdasarkan bilangan penerbangan pergi dan balik didarab RM30.

Doktor berkenaan turut membangkitkan persoalan mengenai perlindungan dan tanggungjawab terhadap petugas sekiranya berlaku perkara tidak diingini sepanjang operasi, memandangkan mereka menjalankan tugasan dalam keadaan yang mempunyai risiko tersendiri.

“Persoalannya, adakah jumlah ini benar-benar menggambarkan nilai tanggungjawab dan risiko yang dipikul oleh mereka? Kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini, apakah bentuk perlindungan yang diberikan kepada petugas?

“Justeru, saya fikir sudah tiba masanya kerajaan menilai semula kadar ini, bukan sahaja berdasarkan kadar lama, tetapi mengambil kira realiti tugas dan risiko yang dihadapi petugas FDS hari ini,” katanya.

Dr. D turut menceritakan pengalamannya mengiringi pesakit yang tidak stabil dalam penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) sehingga enam jam dan menyifatkan ia bukan tugas mudah, malah memerlukan persediaan rapi kerana sebarang kecemasan boleh berlaku ketika pesawat berada di udara.

Menurutnya, doktor perlu membuat semakan menyeluruh terhadap kes sebelum pemindahan bagi membolehkan sebarang risiko dikenal pasti lebih awal, selain memastikan pasukan perubatan yang merawat pesakit di lokasi asal telah mengambil langkah sewajarnya sebelum pesakit diterbangkan.

Lebih mencabar, katanya, doktor yang mengiringi pesakit perlu mengetahui cara mengendalikan semua peralatan perubatan di dalam helikopter, termasuk pam infusi, terutama dalam keadaan tiada jururawat atau pembantu perubatan yang dapat memberikan bantuan sepanjang penerbangan.

Beliau turut mengingatkan bahawa helikopter berkemungkinan perlu mendarat di beberapa lokasi untuk mengisi minyak sebelum sampai ke destinasi, justeru doktor perlu mempunyai maklumat pegawai perubatan kecemasan di lokasi persinggahan sekiranya memerlukan bantuan, bekalan oksigen baharu atau ubat-ubatan tambahan.

Menurutnya, faktor cuaca turut menjadi cabaran kerana keadaan boleh berubah dan juruterbang mungkin terpaksa mengubah laluan bagi mengelak ribut.

Beliau menyifatkan misi Medevac selama enam jam bersama pesakit tidak stabil sebagai tugasan yang jauh lebih mencabar daripada apa yang dapat dibayangkan, khususnya bagi doktor yang perlu membuat keputusan kritikal dalam ruang terhad dan keadaan bising serta bergantung kepada bekalan perubatan yang dibawa bersama.

“Misi pemindahan perubatan menggunakan helikopter bukan sekadar perjalanan dari satu lokasi ke lokasi lain, sebaliknya memerlukan perancangan teliti bagi memastikan pesakit terus mendapat rawatan dan pemantauan sepanjang berada di udara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×