Selangor cipta sejarah, empat kali pertahan Piala Agong

Selangor cipta sejarah, empat kali pertahan Piala Agong

Penaung PBMM, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Ali Mohd Rustam menyampaikan hadiah dan trofi kemenangan Piala Agong kepada pasukan Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Selangor melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mempertahankan trofi Piala Agong buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada aksi final di Stadium Sungai Besar, di sini, hari ini.

Kejayaan skuad kendalian Ahmad Fairuz Mohd Yunus itu menyaksikan Selangor terus menyimpan trofi keagungan berkenaan dalam kabinet mereka untuk tahun keempat berturut-turut selepas muncul juara pada edisi 2023, 2024 dan 2025.

Selangor bermula garang apabila Muhammad Aisar Fahmi meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-15 menerusi rembatan dalam kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Kuala Lumpur,

Gol itu menyuntik keyakinan buat Selangor yang terus menguasai permainan dalam usaha menambah jaringan bagi mengukuhkan kedudukan.

A Thiruchelvan kemudian menyempurnakan tugasnya apabila menjaringkan gol kedua Selangor pada minit ke-48 sebaik babak kedua bermula untuk memberikan kelebihan 2-0 kepada pasukannya.

Kuala Lumpur cuba bangkit selepas ketinggalan dua gol, namun Selangor kekal tenang mengawal permainan bagi memastikan kelebihan itu tidak terhakis sehingga tamat perlawanan.

Selangor turut berpeluang menambah jaringan pada pertengahan babak kedua menerusi Muhammad Aidil Hakim, namun percubaannya sedikit tersasar daripada sasaran.

Kuala Lumpur terus berusaha mencari gol bagi menghidupkan peluang, tetapi barisan pertahanan Selangor kekal ampuh untuk mengekalkan kelebihan sehingga wisel penamat.

Kemenangan itu bukan sahaja mengesahkan kejuaraan keempat berturut-turut Selangor dalam Piala Agong, malah menjadi suntikan terbaik buat skuad Ahmad Fairuz menjelang saingan Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-104 yang bakal membuka tirainya minggu depan.

Hadiahkan kemenangan disampaikan penaung Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) iaitu Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, sambil diiringi Presiden PBMM, Mohd Firdaus Mohamed.

Juara menerima trofi dan medal selain membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, manakala naib juara pula meraih medal dan wang kemenangan RM3,000.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×