BESUT: Seorang kakak tergamam melihat adiknya kaku tidak bernyawa selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di kawasan kolam ikan yang diusahakannya di Kampung Air Tawar di Kuala Besut, di sini, hari ini.
Wan Affida Malina Wan Awang, 51, berkata, berita mengenai kejadian itu diketahui ketika waktu Zohor selepas seorang rakannya menghubunginya sebelum dia memaklumkan insiden yang menimpa Wan Adilah Wan Awang.
Katanya, pada peringkat awal dia hanya beranggapan Wan Adilah, 49, yang juga bekas Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) hanya mengalami kecederaan ringan tetapi terkejut selepas melihat sendiri keadaan adik ketiganya itu.
“Ketika sampai saya hanya mampu melihat dari jauh kedudukan Wan Adilah bersama pelajar yang baru beberapa bulan menjalankan latihan praktikal di kolam ikan tersebut.
“Luluh hati saya melihat keadaan Wan Adilah dan tidak sangka kemalangan itu berlaku di tempat yang dibangunkan sendiri oleh arwah sejak beberapa tahun sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Besut di sini.
Menurutnya, Wan Adilah yang belum mendirikan rumah tangga itu sebelum ini sememangnya turut menetap di kolam tersebut sepenuh masa dan kadangkala pulang ke kediaman keluarga di Kampung Pusu Tinggi, di sini.
Wan Affida berkata, dia dan adik beradik yang lain terpaksa menguatkan semangat memberitahu bapa mereka yang uzur, Wan Awang Wan Ismail, 70, tentang kemalangan yang menimpa Wan Adilah.
“Pada awalnya kami takut bapa terkejut dengan kejadian ini dan kami bimbang menyebabkan kesihatannya semakin merosot, namun Alhamdulillah dia dapat terima pemergian Adilah, “katanya.
Jenazah Wan Adilah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dengir di sini selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.
Terdahulu, dua wanita maut dilaporkan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di kolam ikan di Kampung Air Tawar. Mangsa adalah Wan Adilah dan Rubayyi Razak, 27 yang masing-masing merupakan pemilik kolam terbabit serta pelajar praktikal di situ.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab Rahim berkata, dua wanita itu maut selepas tidak sedarkan dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di kolam ternakan ikan tersebut, kira-kira pukul 1.40 petang. – UTUSAN










