Pemain Kuching City tidak mudah mengalah- Aidil

Pemain Kuching City tidak mudah mengalah- Aidil

PEMAIN Kuching City FC, Ramadan Saifullah melakukan percubaan sambil dihalang pemain Melaka FC, V. Ruventhiran dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, kelmarin.- IHSAN KUCHING CITY FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuching City tidak berdepan masalah mencatat kemenangan 2-1 ke atas Melaka FC meskipun terpaksa bermain 10 pemain selepas Yuki Tanigawa dilayangkan kad merah pada awal babak kedua.

Pada aksi di Stadium Hang Jebat, kelmarin, pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Jerome Mpacko Etame pada minit ke-26 sebelum Melaka menyamakan kedudukan menerusi Do Donghyun pada minit ke-90.

Ketika perlawanan seperti berakhir dengan keputusan seri, Ronald Ngah muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada minit akhir untuk memastikan The Cats mengutip tiga mata.

Pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti semangat juang luar biasa anak buahnya tidak menyerah awal meskipun berdepan tekanan besar selepas kehilangan seorang pemain pada awal babak kedua.

Aidil berkata, beliau tidak mahu anak buahnya hanya bertahan selepas layangan kad merah sebaliknya terus mempercayai struktur permainan dengan empat pemain pertahanan yang digunakan.

“Kami tahu bukan mudah untuk datang ke sini (Stadium Hang Jebat) dan bermain menentang Melaka. Kami sudah melihat perlawanan mereka sebelum ini dan tahu Melaka sebuah pasukan yang kuat.

“Apabila kami kehilangan seorang pemain biarpun mendahului sudah pasti situasi getir perlu diharungi mereka. Justeru saya sangat menghormati apa yang dipersembahkan pemain untuk mencatat kemenangan,” katanya.

Kuching City kini perlu mengalihkan fokus kepada saingan peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) apabila bakal berdepan wakil Kemboja, Phnom Penh Crown FC pada 17 September ini.

Sementara itu, pengendali Melaka FC, E. Elavarasan kecewa apabila pasukannya gagal memanfaatkan kelebihan beraksi menentang 10 pemain untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

“Kita memang kecewa dengan gol pada minit akhir. Ini kali kedua perkara yang sama berlaku. Jadi situasi ini perlu dibaiki secepat mungkin kalau kita mahu pergi jauh.

“Kalau dapat satu mata pun malam ini, ia sudah cukup baik kerana kita percaya Kuching sebuah pasukan yang mantap menerusi persembahan konsisten mereka sebelum ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×