KUALA LUMPUR: Jenazah lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak akan diserahkan kepada keluarga masing-masing di Jabatan Forensik Hospital Miri, pagi ini selepas identiti mereka disahkan melalui analisis DNA.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pengesahan rasmi identiti dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia Malaysia.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyelaraskan pergerakan jenazah ke lokasi persemadian masing-masing selepas proses penyerahan kepada keluarga selesai.
“Jenazah Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah Kamarudin (Pegawai Perubatan) akan diterbangkan dari Miri ke Kota Bharu, Kelantan menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Kedeper, Kampung Baung, Pengkalan Chepa.
“Jenazah mendiang Debra Moset (jururawat) pula akan diterbangkan dari Miri ke Kuching untuk disemadikan di Kampung Semadang, Padawan esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jenazah mendiang Alexson Adit Henry (Penolong Pegawai Perubatan) akan dibawa dari Hospital Miri ke rumahnya hari ini sebelum dikebumikan di Anglican Cemetery Lambir, Miri, Selasa.
Jenazah mendiang Jessie Paya Jok (jururawat) turut dipindahkan ke rumahnya hari ini sebelum dikebumikan di BEM Cemetery Lambir, Miri, esok.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham (juruterbang) akan diterbangkan dari Miri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) menggunakan penerbangan Malaysia Airlines sebelum dikebumikan di Taman Perkuburan Forest Height, Senawang, Negeri Sembilan.
Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada ATM, PDRM, Jabatan Kimia Malaysia, JBPM, JAIS, pengurusan Hospital Miri dan semua agensi yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hingga pengurusan jenazah.
Katanya, KKM turut memperkukuh kerjasama dengan JBPM bagi memastikan akses kesihatan penduduk pedalaman tidak terjejas susulan penangguhan sementara perkhidmatan FDS untuk siasatan dan penilaian menyeluruh. – UTUSAN









