KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh mengharapkan parti lain untuk membantu membangkitkan kekuatannya semula kerana tiada pihak yang benar-benar mahu melihat parti itu kembali kuat.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu perlu membina kekuatan sendiri dan tidak bergantung kepada ihsan atau bantuan pihak lain.
“Tak ada siapa yang nak melihat UMNO dibangkitkan semula. Berbohonglah saya jika saya katakan ada parti lain yang nak memimpin kita untuk bangkit dan bangun semula.
“Jangan kita mimpi di siang hari kerana tak ada satu mata pun, tak ada satu hati pun yang nak melihat kebangkitan kita.
Semuanya nak melihat kita dibenamkan,” katanya dalam ucapan pergulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini, semalam.
Mohamad berkata, beberapa percubaan sebelum ini untuk mengumpulkan semula kekuatan politik juga tidak membawa hasil seperti yang diharapkan.
Katanya, keadaan itu membuktikan UMNO perlu bergantung kepada kekuatan dalaman sendiri untuk memastikan kelangsungan parti.
“Apa yang hendak saya beritahu adalah jangan harap kepada ihsan orang. Bina kekuatan sendiri.
“Jangan kita harapkan pertolongan orang, bantuan orang lain, parti lain. Bina kekuatan dalaman,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan dalaman itu penting untuk menjadi benteng kepada UMNO dalam menghadapi apa juga cabaran politik selepas ini.
“Dengan membina kekuatan sendiri, kekuatan dalaman kita, kita akan dapat pastikan kekuatan itu dapat dijadikan sebagai benteng untuk kita mengharungi apa juga yang akan kita hadapi.
“Dan apabila kita kuat, saudara-saudari sekalian, maka orang tidak boleh memperkotak-katikkan kita,” katanya.-UTUSAN.










