KUALA LUMPUR: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) berisiko menyebabkan BN kehilangan 15 peratus sokongan pengundi Melayu di Pahang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun, BN masih mampu memenangi negeri itu sekiranya memilih jajaran berkenaan.
“Kalau dengan PH, hilang 15 peratus pengundi Melayu, tetapi masih boleh menang.
“Di Pahang, kita sudah mengadakan tiga kali permukiman melibatkan saya bersama rakan-rakan kepimpinan UMNO dan ketua-ketua bahagian untuk berbincang.
“Kami mahu mendapatkan jajaran politik yang sesuai. Ada tiga pilihan iaitu BN bersama PH, BN dengan Perikatan Nasional (PN) atau BN bergerak solo.
“Menariknya, daripada ketiga-tiga cadangan tersebut, semuanya menunjukkan BN boleh menang,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Kerjasama BN-PH merupakan antara tiga pilihan jajaran politik yang sedang dipertimbangkan UMNO Pahang bagi menghadapi PRU-16.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, BN juga masih mampu menang sekiranya memilih untuk bergerak secara solo, namun pendekatan tersebut mempunyai risiko yang sangat tinggi.
“Kalau solo, masih boleh menang juga, tetapi risikonya sangat tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, UMNO Pahang belum membuat keputusan muktamad berhubung jajaran yang akan dipilih.
Katanya, perkara itu masih dibincangkan dan semua maklumat berkaitan perlu diperoleh sebelum dibawa kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Setakat hari ini, perkara itu masih dalam perbincangan. Insya-Allah, apabila semua maklumat diperoleh, saya dan rakan-rakan akan menghadap Presiden untuk berbincang lebih lanjut sebelum membuat keputusan,” katanya.
Wan Rosdy turut menyatakan keazaman UMNO Pahang untuk mempertahankan negeri itu sebagai kubu kuat UMNO dan BN pada PRU-16.
Katanya, setiap negeri dan kawasan mempunyai cabaran berbeza, manakala pengundi juga akan membuat pertimbangan yang berlainan dalam pilihan raya akan datang. – UTUSAN










