KUALA LUMPUR: UMNO tidak perlu menghiraukan suara yang mendakwa usaha penyatuan Melayu sebagai gerakan berunsur rasis atau mengancam kaum lain.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyatuan Melayu perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang mampu mewujudkan rasa hormat, kebersamaan, keselamatan, keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan semua masyarakat.
Beliau berkata, tugas UMNO ialah meyakinkan semua bahawa penyatuan orang Melayu tidak pernah dan tidak akan sesekali dibina dengan menjatuhkan orang lain.
“Apabila orang Melayu hendak bersatu, akan kedengaran banyak suara sumbang. Ada orang menuduh bahawa penyatuan Melayu ini adalah sesuatu yang rasis.
“Ada yang mendakwa penyatuan Melayu adalah gerakan yang menyebabkan bangsa lain terancam dan berasa tidak selamat. Tugas kita ialah meyakinkan semua bahawa penyatuan orang Melayu tidak pernah dan tidak akan sesekali dibina dengan menjatuhkan orang lain.
“Malah ia akan diusahakan dengan cara terbaik. Ia mesti diterjemahkan dengan cara yang menimbulkan rasa hormat, rasa kebersamaan dan rasa selamat.
“Ia mesti diusahakan dengan cara yang membawa keyakinan dan kepercayaan. Bukan dengan cara yang ekstrem, cara yang menakutkan atau cara yang tidak rasional. Dan untuk mencapai hasrat ini, UMNO mesti menjadi penerajunya,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, hari ini.
Tambah Mohamed Khaled, UMNO perlu menjadi teras dan paksi kepada usaha penyatuan Melayu berdasarkan sejarah, sifat, watak serta keunikan parti berkenaan.
“Mengapa saya katakan yang penyatuan Melayu ini harus digerakkan dengan UMNO sebagai terasnya? Mengapa kita mahu UMNO yang menjadi paksi dan pusat graviti penyatuan Melayu?
“Ini kerana sejarah, sifat, watak dan keunikan UMNO itu tidak ada pada yang lain. Dan perkara ini mewajar dan melayakkan UMNO menerajui penyatuan Melayu,” katanya. – UTUSAN










