PETALING JAYA: Penyanyi, Amir Jahari, tampil dengan identiti muzik terbaharu selepas 15 tahun berkarya.
Dikenali menerusi karya berteraskan folk dan pop, Amir kini membuka lembaran baharu menerusi single terbaharunya, (SUB)YANA dengan elemen art rock, art pop dan elektronik.
Menurut Amir atau Mohamad Amirullah Jahari, 34, perubahan ini merupakan sebahagian daripada keperluan dirinya sebagai seorang seniman untuk terus meneroka dan mencabar batas kreativiti.
“Bukan hanya untuk mengejar kerelevanan dalam industri, saya ubah haluan muzik untuk diri sendiri, supaya terus rasa bertenaga untuk menghasilkan karya yang baharu.
“Selama 15 tahun, saya meneroka muzik pop, folk dan akustik dengan pelbagai eksperimentasi, terutamanya dalam album kedua, Siang dan Malam. Selepas album Kembali dan beberapa single selepasnya, saya fikir fasa itu sudah cukup. Masa untuk mencabar diri dengan gaya baharu,” katanya.
Mengulas mengenai (SUB)YANA, lagu tersebut membawa mesej ‘You Are Not Alone’ yang menjadi inti pati kepada liriknya.
Lagu berkenaan ditulis sebagai teman buat mereka yang berasa terasing, tidak difahami, sering memendam perasaan atau sukar meluahkan apa yang terbuku di hati.
“Kita manusia, tak ada manusia yang sepenuhnya sama dengan manusia lain. Kadang-kadang perbezaan itu buat kita terasing sedangkan sebenarnya, itulah kelebihan kita sebagai manusia.
“Sebab kita bukan robot yang boleh diprogram untuk menjadi sama dan seragam. Saya mahu beritahu pendengar, kalau awak rasa awak berbeza, saya pun berbeza, dan kita boleh rasa berbeza bersama-sama. You are not alone,” katanya.
Sesuai dengan perubahan muziknya, Amir memperkenalkan kolektif muzik Amir Jahari Signal (AJS) yang bakal bergerak sebagai sebuah unit muzikal secara lebih menyeluruh.
Kolektif berkenaan dianggotai tiga pemuzik berpengalaman iaitu Tasneem Bolhassan yang memainkan bass dan sape, Azad Ayam ‘Sorga’ di posisi dram serta Adlan Syahin sebagai pemain gitar.
“Kami melihat muzik sebagai signal. Ada idea yang dihantar, dibentuk oleh keempat-empat kami dan disampaikan kepada sesiapa yang mahu mendengarnya,” kata Amir.
Terkini, Amir kini giat menyiapkan album keempat yang dijangka menemui pendengar pada tahun ini.
Menurut Amir, album terbabit bukan sahaja membawa pembaharuan daripada sudut muzik, malah menjadi sebahagian daripada usahanya untuk memperkenalkan karya yang lebih alternatif kepada pasaran arus perdana tempatan.
“Tak mudah untuk memperkenalkan sesuatu yang baharu tetapi sebagai pemuzik, kami perlu selalu mencabar sempadan muzik yang difahami pendengar terbanyak.
“Harapnya, dengan album itu nanti, masyarakat kita lebih terbuka untuk menerima kepelbagaian yang ada dalam muzik tempatan,” katanya. -UTUSAN










