SUNGAI BULOH: Penyanyi, Iman Troye tidak melihat kemunculannya dalam genre pop etnik sebagai satu persaingan dengan nama besar seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, sebaliknya menganggapnya sebagai idola yang menjadi sumber inspirasi dalam perjalanan seninya.
Iman atau Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 24, berkata kehadirannya dalam genre pop etnik adalah untuk berkarya, menghiburkan pendengar serta meluahkan sisi seni menerusi lagu yang dihasilkan.
“Kalau kita tengok penyanyi-penyanyi yang menyanyi lagu pop etnik seperti Siti Nurhaliza, saya tidaklah mahu bersaing.
“Saya juga mengangkat mereka sebagai seorang idola dengan cara nyanyian yang lebih berpengalaman daripada saya. Jadi, siapalah saya bersaing dengan Wani Kayrie, Siti Nurhaliza dan seangkatan dengannya.
“Kehadiran saya dalam industri ini untuk berkarya buat pendengar dan meluahkan seni menerusi lagu.
“Insya-Allah, nak cakap saya mahu teruskan legasi pun macam tidak layak, tetapi Insya-Allah mahu cuba teruskan legasi pop etnik,” katanya ketika pelancaran muzik video Jung Jung Inai, nyanyiannya bersama Asslahierah, di sini, malam tadi.
Menurut penyanyi Nang, dia mahu memberikan yang terbaik dalam setiap karya selain terus bereksplorasi bagi mencari identiti serta memperbaiki kelemahan sebagai penyanyi.
Bercerita mengenai Jung Jung Inai, lagu berkenaan menjadi pengenalan awal kepada perancangan Iman untuk menghasilkan album berkonsepkan pop etnik yang dijangka dilancarkan tahun depan.
Menariknya, Jung Jung Inai sebenarnya sudah disiapkan lebih awal dan pada asalnya dirancang untuk ‘diperam’ sehingga tahun depan sebelum keputusan dibuat untuk mempercepatkan pelancarannya.
“Sebenarnya lagu ini siap pada awal bulan tahun ini. Awal bulan tahun ini kami dapat lagu ini, demo daripada penerbit EXO House sendiri. Jadi sebenarnya kami sudah rakam lagu ini awal.
“Cumanya dalam perancangan itu, kami sedang menyusun bila nak keluarkan. Kalau ikutkan, kami nak perap lagu ini untuk tahun depan supaya lebih bersedia.
“Saya sendiri ada perancangan untuk keluarkan album pop etnik. Jadi sebenarnya lagu Jung Jung Inai ini adalah salah satu lagu dalam album pop etnik tersebut.
“Tiba-tiba kami rasa macam inilah masa yang tepat,” katanya.
Menurut Iman, keputusan untuk mengetengahkan lagu tersebut lebih awal dibuat selepas mereka sendiri merasakan karya berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri dan wajar diperkenalkan kepada pendengar tanpa perlu menunggu terlalu lama.
Daripada situ, timbul pula idea untuk menggandingkan Iman bersama Asslahierah yang sebelum ini pernah bekerjasama menerusi karya bersempena Aidilfitri, Jemput Jemput Raya.
Iman berkata, idea berkenaan disambut baik Asslahierah, lebih-lebih lagi selepas ramai peminat bertanyakan mengenai perancangan mereka untuk kembali bekerjasama.
“Kami terdengar lagu ini dan rasa lagu ini bagus. Iman pun terus terfikir Asslahierah untuk kolaborasi dan dia setuju.
“Lagipun ramai yang tanya bila kami nak kolaborasi semula sebab lagu raya kami sebelum ini mendapat banyak perhatian,” katanya. -UTUSAN










