‘The Quiet Ember Vol. #1’ gabung filem pendek, teater dan aksi lagak ngeri - Utusan Malaysia

‘The Quiet Ember Vol. #1’ gabung filem pendek, teater dan aksi lagak ngeri

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat karya filem pendek bakal dipersembahkan dalam pendekatan berbeza menerusi acara The Quiet Ember Vol. #1 yang menggabungkan tayangan filem, persembahan teater, monolog, sketsa dan aksi lagak ngeri secara langsung.

Acara anjuran Z Core Entertainment itu berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 September ini di Revolution Stage Studio, dengan menampilkan tiga tayangan semula dan satu tayangan perdana.

Menariknya, setiap tayangan filem akan disusuli persembahan pentas yang dibentuk berdasarkan tema serta konsep karya berkenaan, sekali gus memberikan pengalaman tontonan yang lebih menyeluruh kepada penonton.

Penganjur utama merangkap Pengarah Z Core Entertainment, Zulhazwan berkata, konsep The Quiet Ember Vol. #1 diwujudkan bagi memberikan dimensi baharu kepada pengalaman menikmati filem pendek menerusi gabungan medium layar dan persembahan secara langsung.

“Persembahan pentas akan berkait dengan filem yang ditayangkan berdasarkan tema dan konsep setiap karya.

“Kami mahu penonton bukan sekadar menyaksikan cerita di layar, tetapi turut merasai elemen dan emosi karya itu menerusi persembahan secara langsung,” katanya.

Empat karya yang bakal ditampilkan ialah Paksi, Pelangi Selepas Hujan, 0112 dan Switch, dengan setiap filem mengetengahkan genre serta konflik yang berbeza.

Paksi merupakan drama thriller yang mengisahkan seorang lelaki dalam usaha mencari makna kehidupannya.

Dalam pencarian itu, dia terus dihantui ingatan terhadap kata-kata keras bapanya sehingga memberi kesan terhadap perjalanan emosinya.

Sementara itu, drama tragedi Pelangi Selepas Hujan memaparkan kisah seorang ibu yang terjaga daripada tidur sebelum cuba mengingati perkara yang telah berlaku.

Namun, dia kemudian mula menyedari kemungkinan dirinya telah melakukan sesuatu yang gelap.

Filem thriller 0112 pula mengisahkan seorang lelaki yang berdepan masalah kemurungan dan semakin keliru dengan keadaan fikirannya susulan hubungan bersama kekasih.

Situasi itu menimbulkan persoalan sejauh mana dia mampu mengawal dirinya sebelum insan yang disayangi menjadi mangsa.

Melengkapkan senarai ialah Switch, yang bakal menemui penonton menerusi tayangan perdana.

Filem aksi itu mengisahkan seorang lelaki selepas mencuri sebuah pemacu pena yang mengandungi maklumat penting kerajaan.

Kerajaan kemudian menghantar pasukan pakar untuk memburunya, namun operasi berkenaan membawa kepada pembongkaran rahsia yang jauh lebih gelap.

Selain tayangan filem, segmen pentas turut menggabungkan elemen monolog, sketsa dan persembahan pendek, selain aksi lagak ngeri secara langsung bagi menghidupkan elemen aksi serta ketegangan daripada karya yang dipertontonkan.

Segmen teater diarahkan Aidil Rosli, dengan menampilkan barisan pelakon terdiri daripada Qiu Qatina, Hazzy Alzeeq dan Ash Ramzi.

Menurut Z Core Entertainment, penganjuran The Quiet Ember Vol. #1 turut menjadi sebahagian usaha menyediakan ruang kepada pembikin filem dan penggiat seni tempatan untuk mengetengahkan karya menerusi pendekatan persembahan yang lebih eksperimental.

Pada masa sama, acara itu diharap dapat menjadi platform yang menghubungkan penggiat seni dengan penonton bagi bertukar idea, mendapatkan inspirasi serta membuka peluang kerjasama baharu dalam industri kreatif tempatan.

The Quiet Ember Vol. #1 berlangsung dari pukul 8 malam hingga 10 malam dengan kapasiti terhad kepada 40 penonton bagi setiap sesi.

Tiket ditawarkan pada harga RM25 untuk pelajar, RM30 bagi pembelian awal dan RM35 untuk pembelian pada hari acara.

Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang Revolution Stage.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×