Pearly-Thinaah masih ada aura juara

Pearly-Thinaah masih ada aura juara

Pearly Tan-M. Thinaah masih dianggap berupaya menyumbang pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah masih dianggap berupaya menyumbang pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 meskipun pasangan No. 5 dunia itu dibelenggu dengan isu prestasi kesan daripada pemulihan panjang akibat kecederaan.

Malah, bekas pasangan No. 2 dunia itu yang menyumbang pingat perak pada Kejohanan Dunia 2025 di Paris masih digeruni lawan lebih-lebih lagi jika mereka berada pada prestasi terbaik.

Walaupun ketika ini prestasi mereka diakui menurun sedikit, ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak masih yakin dengan kemampuan kedua-duanya menewaskan mana-mana gandingan handalan dunia.

“Secara jujur saya tak kisah sangat pasal undian kerana saya hanya kisah persembahan. Sebab semua orang tahu, Pearly-Thinaah jika berada pada prestasi terbaik, dengan sesiapa sahaja mereka boleh menang.

“Saya rasa lawan juga risau juga nak jumpa Pearly-Thinaah. Sudah tentu kita pun risau, kalau boleh tak nak jumpa pencabar yang kuat, tetapi beregu yang berada dalam kelompok empat terbaik dunia pun tak nak jumpa mereka,” katanya selepas sesi latihan di sini, semalam.

Undian rasmi Sukan Asia dijangka pada 19 September ini dan sama ada Pearly-Thinaah mampu mengulangi atau mengatasi pencapaian Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang memenangi gangsa pada Temasya 2014 akan bergantung kepada prestasi selain tuah.

Tidak dinafikan tekanan kini lebih terletak di bahu Pearly ekoran isu prestasinya sejak kembali ke gelanggang pada Terbuka Singapura 31 Mei lalu dan sehingga kini, pemain itu masih belum mampu mempamerkan persembahan yang cukup menyakinkan.

Menurut Rosman, sebenarnya isu fobia kerana takut tercedera kembali merupakan satu perkara biasa dialami mana-mana atlet tetapi melalui sesi latihan dan juga sokongan fisioterapi, beliau yakin stigma yang dialami Pearly itu secara perlahan-lahan akan menghilang.

“Keyakinan mereka juga memang sedikit jatuh, masih belum sampai ke tahap yang kita inginkan. Kadang kala saya melihat keinginan Pearly itu melebihi kemampuan sehingga dia membuat kesilapan ketika berada di mata penting gara-gara keinginan dia untuk menang,” ujarnya.

Beliau juga masih meletakkan kepercayaan penuh kepada Pearly-Thinaah untuk mencipta kejutan di Jepun kerana ia tidak mustahil berlaku seperti yang terjadi dalam Kejohanan Dunia baru-baru ini yang menyaksikan pilihan pertama tumbang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×