JAKIM teliti jalan cerita Madu atau Racun, Cela - Utusan Malaysia

JAKIM teliti jalan cerita Madu atau Racun, Cela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Panel di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menilai kandungan dua drama bersiri, iaitu Madu atau Racun dan Cela, sebagai antara tiga tindakan susulan hasil perbincangan dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), hari ini.

FINAS dalam kenyataan mengumumkan, panel di bawah JAKIM akan menilai keseluruhan jalan cerita dan konteks kandungan kedua-dua drama kontroveris terbabit, selaras dengan garis panduan berkaitan.

“Langkah kedua, JAKIM dan FINAS bersama agensi berkaitan akan mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri filem dan televisyen (TV) bagi membincangkan tatacara serta garis panduan penerbitan kandungan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, langkah ketiga, FINAS akan memasukkan syarat tambahan dalam Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) bagi memastikan setiap produksi menghasilkan kandungan yang mematuhi garis panduan serta tidak membawa kemudaratan kepada masyarakat.

“Langkah ini bukan bertujuan mengehadkan kebebasan berkarya, sebaliknya memastikan kreativiti terus berkembang secara bertanggungjawab dengan mengambil kira sensitiviti agama, nilai budaya, kepentingan masyarakat serta persekitaran perundangan negara,” katanya.

Sebelum ini, Drama Madu Atau Racun dan Cela mencetuskan kontroversi selepas didakwa memaparkan beberapa adegan yang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

FINAS sebelum ini dilapor mengarahkan semua 12 episod drama Madu atau Racun terbitanMetrowealth International Group (MIG) disunting semula dan dikemukakan kepada panel penilai untuk penilaian lanjut sebelum boleh disiarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, dilapor berkata, enam episod yang sudah bersiaran menerusi platform penstriman iQIYI juga perlu diturunkan buat sementara waktu sehingga proses suntingan selesai dan keputusan rasmi diperoleh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×