Cik Bunga ini bukanlah mahu mencari gaduh, jauh sekali hendak mengeruhkan keadaan. Tetapi kalau sudah namanya dunia hiburan, ada sahaja cerita yang sampai ke telinga.
Cuma kali ini, Cik Bunga sendiri terdiam seketika apabila mendengar kisah seorang pempengaruh dan pelakon yang semakin hari semakin ‘naik tocang’.
Kalau disebut namanya, mungkin ramai tidak percaya. Maklumlah, si empunya diri ini memang terkenal dengan mulutnya yang boleh tahan ‘laser’. Ada sahaja perkara yang mahu ditegur, dikomen dan dikupas. Daripada hal kecil sampailah perkara yang dirasakan kurang kena di matanya, semuanya ada sahaja komen.
Tidak salah menegur. Malah, ada juga nasihat yang disampaikan pempengaruh ini yang Cik Bunga rasa bagus dan boleh dijadikan panduan. Tetapi bak kata orang tua-tua, sebelum kita menuding jari kepada orang lain, elok juga kita tengok dahulu empat jari yang menghala kepada diri sendiri.
Cik Bunga difahamkan, baru-baru ini ada satu kejadian yang dikatakan berlaku di sebuah majlis, sekali gus membuatkan beberapa pihak yang berada di situ agak kurang selesa.
Menurut sumber yang sampai kepada Cik Bunga, pempengaruh berkenaan dikatakan menunjukkan ‘warna’ sebenar dirinya apabila berlaku satu salah faham membabitkan pembantu peribadinya atau PA.
Cerita yang Cik Bunga dengar, seorang pembantu artis telah memanggil PA milik pempengaruh itu untuk memberikan sedikit penerangan atau briefing mengenai urusan acara yang perlu mereka kendalikan.
Bukannya mahu ‘culik’ PA orang, jauh sekali mahu merampas pekerja sesiapa. Lagipun ketika itu, pempengaruh berkenaan dikatakan sedang sibuk dengan urusan lain.
Namun, entah bagaimana perkara tersebut dikatakan menjadi satu isu apabila pempengaruh berkenaan didakwa menegur pembantu artis itu di hadapan orang ramai dan menyebut tentang cubaan ‘mencuri’ PA miliknya. Aduhai!
Cik Bunga faham, mungkin ada salah faham atau mungkin juga pempengaruh berkenaan mempunyai sebab tertentu untuk berasa tidak senang. Tetapi kalau betul seperti yang diceritakan sumber, rasanya tidak perlulah sampai dilaungkan di khalayak ramai begitu.
Bukankah lebih manis kalau ditegur secara berhemah dan empat mata?
Cik Bunga bukan mahu mengajar orang bagaimana hendak bekerja. Tetapi semakin tinggi seseorang itu berada dalam industri, semakin ramai mata memandang dan semakin banyak telinga mendengar.
Apa yang keluar daripada mulut kita, walaupun dianggap perkara kecil, boleh meninggalkan persepsi yang besar.
Lebih-lebih lagi kalau selama ini kita dikenali sebagai individu yang gemar memberikan teguran dan nasihat kepada orang lain.
Jangan sampai orang pula mula tertanya-tanya, nasihat yang selalu diberi itu hanya untuk orang lain atau turut diamalkan oleh diri sendiri?
Cik Bunga percaya, mungkin kejadian ini sekadar salah faham dan cerita yang sampai kepada Cik Bunga juga mungkin tidak menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar.
Namun, sebagai ‘peringatan manja’ daripada Cik Bunga, kalau mahu terus menjadi suara yang lantang dalam kalangan warganet, pastikan suara itu turut disertai dengan adab dan timbang rasa.










