Meningkatkan daya fokus anak-anak - Utusan Malaysia

Meningkatkan daya fokus anak-anak

Ibu bapa perlu bantu anak-anak tingkatkan daya fokus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MY WAY OF PARENTING

Ramai ibu bapa mengeluh apabila anak-anak terpaksa belajar dari rumah disebabkan pandemik Covid-19.

Sebilangan sahaja pelajar yang mampu berdaya saing dalam pendidikan secara online.

Kebanyakan ibu bapa merasakan anak- anak tidak mampu mengekalkan prestasi dan fokus terhadap pembelajaran secara norma baharu.

Si kecil terpaksa diawasi sepanjang sesi pembelajaran. Bagi pelajar di sekolah rendah lazimnya mereka tidak mampu bertahan lama.

Bagi pelajar sekolah menengah pula, ibu bapa selalunya tidak pasti tahap penerimaan anak masing-masing, memandangkan mereka sudah pun boleh berdikari untuk melalui kelas online tanpa pengawasan.

Keberkesanan belajar secara dalam talian ini banyak bergantung kepada daya fokus pelajar tersebut.

Setiap anak mempunyai daya fokus yang berbeza. Anak kecil bawah usia enam tahun, sudah pastinya memiliki daya fokus yang pendek dan tidak mampu untuk bertahan. Ini memberi tekanan kepada ibu bapa khususnya anak yang bakal mengambil peperiksaan dalam tahun yang sama.

Bagaimanakah caranya untuk mempertingkatkan daya fokus anak dalam mengatasi masalah tersebut? Berikut saya kongsikan beberapa tips dalam mempertingkatkan daya fokus anak supaya pembelajaran mereka menjadi lebih efektif.

1. Mengenali daya fokus anak

Setiap anak mempunyai daya fokus yang berbeza. Anak yang berumur 4-5 tahun mempunyai daya fokus yang singkat iaitu selama 5-20 minit sahaja. Ia juga bergantung kepada personaliti anak itu sendiri. Ada anak yang mampu duduk diam dalam tempoh yang panjang.

Ada anak yang tidak boleh duduk diam dan lebih hiperaktif. Anak perempuan lazimnya mempunyai daya fokus yang lebih tinggi jika dibandingkan anak lelaki.

2. Menggunakan kad imbasan atau flash cards

Bayi yang diajar menggunakan kad imbasan sejak lahir, mampu memiliki daya fokus yang tinggi di kemudian hari. Gunakan kad imbasan berwarna hitam putih ketika berumur 0-3 bulan kerana penglihatan bayi melibatkan warna masih belum terbentuk.

Gunakan kad imbasan bersaiz besar 18 inci x18 inci, memandangkan penglihatan bayi masih terhad.

3. Matematik dan nombor

Mendidik anak melibatkan nombor pada peringkat awal mampu mempertingkatkan daya fokus mereka. Dedahkan anak kepada nombor 1-100 dan Matematik, secara tidak langsung membantu anak untuk lebih fokus terhadap tugasan yang lain.

4. Persekitaran yang tenang

Pastikan tiada gangguan apabila ingin memulakan pengajaran. Bunyi bising boleh mengganggu konsentrasi dan daya fokus mereka. Asingkan anak daripada adik-beradik yang lain dan padamkan televisyen. Sebaiknya letak di bilik berasingan supaya fokus anak tidak terganggu.

5. Senaman pernafasan

Ajar anak menarik nafas beberapa kali sebelum memulakan pembelajaran. Teknik ini dapat membantu anak merendahkan nadi, meningkatkan oksigen ke otak dan menambahkan daya fokus.

Lakukannya beberapa minit sebelum sesi pembelajaran bermula.

6. Mulakan dengan waktu yang singkat

Bagi anak yang berumur 3-4 tahun daya fokus mereka singkat dan mampu bertahan selama 5-10 minit sahaja.

Mulakan pembelajaran dan lihat sejauh mana anak mampu bertahan. Rehat selepas 5 minit dan sambung semula. Tambah kepada 7 minit keesokan hari dan secara berperingkat. Daya fokus anak akan bertambah secara berterusan.

7. Permainan

Perkenalkan anak dengan aktiviti permainan seperti catur dan silangkata (crossword puzzle).

Membaca al-Quran, melukis, muzik dan peta minda turut mampu mempertingkatkan daya fokus anak. Lakukan aktiviti tersebut sekerap yang mungkin. Jadikan setiap aktiviti suatu permainan.

Ia secara tidak langsung akan menguatkan memori dan daya fokus anak anda.

8. Rehatkan minda

Otak menerima informasi secara berterusan tidak lebih daripada 50 minit. Berhenti seketika untuk rehatkan minda, kemudian sambung semula.

Cara ini membantu untuk lebih fokus dan konsisten dalam sesi pembelajaran.

9. Elakkan gajet

Gajet membuatkan hilang fokus dan tumpuan. Tantrum, tidak bersosial dan tidak berdisiplin antara impak gajet yang memudaratkan kesihatan.

Beri gajet hanya apabila mereka sudah boleh menggalas tanggungjawab.

10. Makanan yang berkhasiat

Sajian kekacang seperti badam, nuts, blueberries, coklat, sayur-sayuran, ikan dan avocado terbukti mampu meningkatkan memori dan daya fokus anak.

Tidur secukupnya dan senaman dapat mencerdaskan otak dan membantu daya fokus mereka untuk belajar.

Begitupun, setiap anak mempunyai daya fokus yang berbeza. Sebagai Ibu bapa kita harus mendidik anak dengan teknik yang betul untuk mempertingkatkan daya fokus mereka.

Disiplin dan rutin harian secara konsisten harus diterapkan agar anak mampu berdikari dalam menimba ilmu.

Semoga dapat membantu. Wassalam.

  • Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, Angkasawan Negara dan Felo Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×